- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Siswazah Jangan Pilih Pekerjaan – Naib Canselor UniMAP
Kangar, 22 September – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menyeru semua siswazah agar berubah sikap dan tidak terlalu memilih pekerjaan.
“Bagi saya masalah pengangguran ini bukanlah disebabkan pihak universiti tidak melahirkan graduan yang berkualiti, tetapi lebih kepada sikap siswazah sendiri yang terlalu memilih dalam pekerjaan.
“Di samping itu, masalah utama yang sering dihadapi oleh kebanyakan siswazah ialah tidak mempunyai “soft skill” yang baik serta masalah pengunaan Bahasa Inggeris yang lemah”, katanya ketika berucap semasa merasmikan Majlis Penutup Festival Konvokesyen ke – 10 UniMAP di Dataran Boulevard Kampus Induk UniMAP Pauh Putra, malam tadi.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.
Menurut Datuk Kamarudin, masalah pengangguran bukanlah masalah yang baharu dihadapi oleh siswazah di negara kita.
“Namun, masalah ini dikhuatiri akan lebih meruncing apabila penawaran peluang pekerjaan yang tidak selari dengan pengajian di universiti, selain didorong oleh persepsi pihak industri yang masih kurang yakin terhadap kualiti para graduan,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi mengatasi masalah yang dihadapi kebanyakan siswazah ini, pihak UniMAP telah mewajibkan setiap mahasiswa untuk mengikuti kursus yang dipanggil ‘7 Pillars’ kepada pelajar ingin bergraduasi.
“Hasil program ini mahasiswa yang bergraduasi akan lebih holistik serta mempunyai ‘generic skill’ yang baik,” katanya.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan daripada Dayang Norfaizah dan artis budaya UniMAP.