- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Rai 1500 Pelajar Dan Staf Berhari Raya
Kangar, 28 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan 1500 pelajar dan staf UniMAP yang tidak dapat pulang berhari raya dalam Majlis Jamuan Raya Aidiladha yang diadakan pada hari raya pertama di Kampus UniMAP Uniciti Alam di Sungai Chuchuh baru-baru ini.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapan aluannya berkata, inisiatif untuk mengadakan majlis ini adalah untuk memberikan kegembiraan kepada pelajar dan staf UniMAP yang tidak pulang berhari raya.
“Rata-rata mereka adalah staf dan pelajar tempatan dan antarabangsa yang jauh dari kampung halaman dan terpaksa menghabiskan cuti hari raya di sini.
Beliau berharap walaupun majlis yang diadakan adalah serba sederhana, namun ianya adalah salah satu cara untuk menggembira dan menghilangkan kerinduan menyambut hari raya bersama keluarga.
“Walaupun saya tahu kegembiraan itu tidak akan sama dengan menyambutnya bersama keluarga tersayang tetapi inilah UniMAP yang inginkan setiap warganya gembira dan bahagia walau dalam apa jua keadaan,’ katanya.