- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Kekalkan Budaya Berkorban – Naib Canselor UniMAP
Kangar, 28 September – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menyeru agar budaya berkorban dikekal dan dilaksanakan oleh warga universiti tersebut pada setiap tahun.
“Saya berharap agar amalan berkorban ini diteruskan saban tahun melalui potongan bulanan yang ditawarkan oleh UniMAP kepada kakitanganya.
“Hal ini kerana, rezeki yang diperolehi adalah lebih berkat sementelah sebahagian dari hasil korban ini disedekahkan kepada rumah kebajikan di negeri Perlis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban peringkat UniMAP yang diadakan di Kubang Gajah pada Hari Raya Aidiladha ke – 3 di Kampus UniMAP Kubang Gajah, baru-baru ini.
Beliau berbangga kerana ibadah korban ini sudah menjadi amalan dan sebati dengan warga UniMAP yang melaksanakannya saban tahun walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan ketika ini.
UniMAP menumbangkan 14 ekor lembu dan tiga ekor kambing pada majlis tersebut dan sebahagian hasil sembelihan disedekahkan pada lima buah rumah kebajikan sekitar Perlis.
Rumah kebajikan tersebut adalah Pusat Jagaan Hembusan Kasih; Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Rumah Teduh Perlis; Asrama Yayasan Saad; Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat; dan Rumah Kanak – Kanak Arau.
Datuk Kamarudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Naib – Naib Canselor/Rektor Universiti – Universiti Awam Malaysia (JKNCR) berharap agar amalan berkorban ini akan dibudayakan oleh semua universiti bukan sekadar memenuhi tuntutan agama malah untuk mendekat dan mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan dan pelajar universiti.