- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
33 mahasiswa UniMAP terpilih terajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2015/2016
Kangar, 6 Oktober – Seramai 33 calon Konstituensi diumumkan menang dan terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sesi 2015/2016 dalam satu majlis khas di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Induk UniMAP di Pauh Putra, semalam.
Jumlah tersebut termasuk tujuh calon konstituensi umum dan 24 calon konstituensi Pusat Pengajian yang diumumkan menang tanpa bertanding selepas sesi penamaan calon 1 Oktober lalu.
Manakala seramai lima calon pelajar antarabangsa yang bertanding bagi konstituensi antarabangsa yang menawarkan dua kerusi keseluruhannya.
Mohamed Mahmoud Abdallah Lotfy Wady dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik mendahului senarai calon konstituensi antarabangsa dengan meraih 113 undi diikuti Amina Mehic dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) dan Tawfik Saeed Ghaleb Alhusam dari PPK Komputer dan Perhubungan dengan masing-masing mendapat 99 dan 94 undi.
Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar Zahid Jamal selepas berakhirnya proses pilihanraya bagi calon pelajar antarabangsa yang ditutup pada jam 4 petang.
Dato’ Zul Azhar dalam ucapannya, melahirkan rasa kagum dengan keberanian yang ditunjukkan oleh calon-calon yang menawarkan diri bertanding pada sesi pemilihan MPP kali ini.
“Walaupun mereka menang tanpa bertanding, saya menghormati keberanian yang ada dalam diri mereka kerana tampil untuk bertanding sedangkan pelajar yang lain menolak peluang tersebut,” katanya.
Malah pelajar antarabangsa yang keluar mengundi juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik apabila proses pemilihan wakil MPP UniMAP berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekecohan dengan peratusan pelajar yang keluar mengundi adalah seramai 42.43 peratus.
"Justeru, saya amat berharap, calon yang dipilih hari ini akan menjadi wakil pelajar yang sebenar-benarnya untuk menyalurkan sebarang permasalahan kepada pihak pengurusan," ujar beliau.
Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP akan diadakan pada 9 Oktober nanti.