A+ A A-

Saingan Atlit Pecut Negara di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP

Kangar, 7 Oktober  – Kejohanan olahraga terbuka Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kali Ke-4 yang bakal berlangsung selama tiga hari mulai 9 Oktober ini  bakal menyaksikan pertembungan sengit bagi merebut gelaran raja pecut.

Dalam kejohanan yang senantiasa di nanti oleh barisan atlit elit negara itu, acara 100 meter bakal  disertai oleh Mohd. Izuddin Yahya, Harith Ammar Mohd. Sobri, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manaf serta atlit-atlit pelapis negara lainnya.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejohanan tersebut yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 lalu juga merupakan medan terbaik mengukur prestasi terkini atlit kebangsaan selepas berakhirnya Sukan Sea di Singapura Jun lalu.

 “Saya dimaklumkan, selepas berakhirnya Sukan SEA Jun lalu, tiada kejohanan besar yang disertai oleh atlit negara selain Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu lalu.

“Namun kejohanan tersebut hanya disertai oleh atlit university awam (UA) sahaja, dan kejohanan olahraga UniMAP merupakan yang pertama bakal menghimpunkan atlit dari pelbagai kategori dan ia juga merupakan medan terbaik untuk mengetahui siapa lelaki terpantas negara tahun ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, Mohd. Izuddin dan Jonathan merupakan wakil negara ke Sukan SEA di Singapura Jun lalu, namun kedua-duanya gagal menyumbangkan sebarang pingat selain turut gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing.

Selain atlit pecut, kejohanan yang bakal menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang pingat emas, perak dan gangsa itu akan turut disertai oleh Muhammad Hakimi Ismail, Adi Alifuddin Hussin, Lee Hup Wei, Mohd. Ashraf Saipu, barisan atlit dari negara jiran Singapura dan atlit-atlit dari Sekolah-Sekolah Sukan di Malaysia.

Menurut Dr. Kamarudin, penganjuran tersebut juga merupakan sebahagian dari usaha kecil UniMAP untuk memajukan sukan olahraga negara yang mana hadiah wang tunai bernilai RM300 diperuntukkan untuk pemenang pingat emas, RM200 (pingat perak) dan RM100 bagi pingat gangsa.

Ujarnya, jika diperhatikan penganjuran olahraga di Malaysia, hanya ada sekitar dua atau tiga kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.

“Ia merupakan komitmen jitu kami di UniMAP untuk melahirkan lebih ramai atlit yang berkualiti dan untuk itu, kejohanan ini juga bakal menggunakan catatan masa elektronik dengan bantuan teknikal dari Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs).

Kejohanan tersebut juga, Ujar Dr. Kamarudin akan berlangsung serentak dengan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11 yang akan disertai oleh 11 pasukan dari kategori pelajar akan mengambil bahagian.

Sebanyak 14 acara dipertandingkan bagi kedua-dua kategori  iaitu 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter, 5,000 meter, lompat jauh, lompat kijang, lompat tinggi, melontar peluru, merejam lembing, melempar cakera, 4x100 meter dan 4x400 meter.

Saingan Atlit Pecut Negara di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP