A+ A A-

Empat Graduan PhD UniMAP Tersenarai 15 Penyelidik Terbaik Di Dunia Dalam Bidang Geopolimer

Arau, 8 Oktober – Empat orang graduan Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bergraduat 19 September lalu tersenarai dalam kedudukan 15 penyelidik terbaik di dunia dalam penerbitan Jurnal Geopolimer, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Elsevier Research Intelligence.

Berdasarkan laporan tersebut, Dr. Rafiza Abdul Razak yang menjalankan penyelidikan lumpur lasi di Indonesia menghuni kedudukan ke-9 terbaik dunia diikuti Dr.Zarina Yahya pada kedudukan ke-11, Dr. Heah Cheng Yong (kedudukan ke-12) dan Dr. Liew Yun Ming di kedudukan ke-13.

Selain keempat-empat graduan tersebut, lima lagi penyelidik UniMAP turut berada dalam carta 15 terbaik, termasuk Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FeTECH), Prof. Madya Dr.Che Mohd. Ruzaidi Ghazali.

Menurut Dr.Kamarudin, pencapaian tersebut sekaligus membolehkan UniMAP muncul sebagai institusi penyelidikan terbaik di dunia dalam bidang Geopolimer dengan 59 jumlah penerbitan keseluruhannya dengan impak factor sebanyak 222 meninggalkan Curtin University of Technology di tempat kedua dengan 35 penerbitan.

Lebih membanggakan, ujar beliau, Penyelidik Geopolimer UniMAP juga mencatatkan indeks wajaran bidang terfokus (Field Weight Citation Index) lebih tinggi dari indeks purata dunia.

“Secara puratanya, indeks sitasi di dunia dinilai pada kadar 1.0, tetapi penerbitan geopolimer UniMAP mencatatkan nilai indeks wajaran sebanyak 3.71 yang bererti penerbitan UniMAP dalam bidang Geopolimer menjadi rujukan penyelidik luar sebanyak 3.71 lebih berbanding penyelidik lainnya,” ujar beliau di Bengkel Penulisan Tesis danJurnal di Pauh Inn, di sini hari ini.

Bengkel anjuran CEGeoGTech itu dikendalikan oleh Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Madya Dr. Ahmad Azmin Mohamad dan disertai hampir 60 pelajar pascasiswazah CEGeoGTech.

Dr. Ahmad Azmin merupakan penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahan tenaga dengan jumlah penerbitan dirujuk melebihi 522.

Menurut Dr. Kamarudin yang juga Pengarah CEGeogTech, UniMAP sentiasa memberikan tumpuan dalam aspek penerbitan jurnal yang berimpak tinggi yang mana ia merupakan misi jelas yang perlu difahami oleh semua penyelidik termasuk pelajar pascasiswazah.

Sebagai contoh, ujar beliau, pelajar Sarjana diwajibkan menghasilkan sekurang-kurangnya dua penerbitan berimpak sebelum bergraduat manakala pelajar PhD diwajibkan menghasilkan sekurang-kurangnya 4 penerbitan berimpak.

Selain dari semangat kerja berkumpulan serta penyelidikan berfokus, ujar beliau, kejayaan penyelidik UniMAP juga disumbangkan menerusi penganjuran bengkel dan seminar secara berkala setiap tahun.

“Sebagai contoh, penganjuran Bengkel Penulisan Tesis dan Jurnal yang dianjurkan hari ini banyak membantu pelajar menghasilkan penerbitan yang berimpak serta member manfaat besar kepada masyarakat.

“Melalui bengkel ini, para pelajar dan penyelidik akan didedahkan dengan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh penyelidik dalam penulisan mereka, justeru ia secara tidak langsung akan mempercepatkan proses penulisan dan penghasilan jurnal berimpak,” jelasnya lagi.