- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Badrul Hisyam Raih Emas Kedua, 200 meter Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP
Arau, 9 Oktober – Atlit Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), Badrul Hisyam Abdul Manap terus mempamerkan aksi cemerlang pada hari ketiga Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP Kali Ke-4 untuk meraih pingat emas acara 200 meter di Stadium Syed Sirajuddin Areeb Putra di sini.
Badrul Hisyam yang memulakan larian di lorong keempat mencatatkan kepantasan 20.88 saatuntuk menumpaskan rakan sepasukan Khairul Hafiz Jantan, 17, yang mencatatkan 20.95 saat untuk meraih perak dan Muhammad Haiqal Hanafi di tempat ketiga dengan catatan masa 21.57 saat.
Namun, impian Badrul Hisyam untuk memadamkan rekod kebangsaan acara 200 meter yang dibuat oleh Dato’ Dr. M. Jegathesan di Sukan Olimpik Mexico pada tahun 1992 iaitu 20.92 saat pada kejohanan kali ini tidak kesampaian kerana bantuan angin.
“Saya bermula dengan baik dan berjaya menamatkan larian dengan masa terpantas, namun agak dukacita apabila dimaklumkan sewaktu larian, tiupan angin mencatatkan kelajuan 2.2m/s sedangkan rekod hanya diiktiraf jika kelajuan angin tidak melebihi 2.0m/s.
“Walaupun begitu, saya telah semakin yakin untuk terus mencatatkan masa terbaik sekaligus memadamkan rekod kebangsaan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Sebagaiman aksi 100 meter, dua atlit elit negara, Mohd. Izzuddin Yahya (Cikgu Din) dan Harith Ammar Mohd. Sobri terpaksa akur dengan kepantasan anak-anak didik Mohd. Poad Kassim pada kejohanan kali ini.
Harith Ammar sekadar berpuas hati di tempat keempat dengan catatan masa 21.57 saat, manakala Cikgu Din menamatkan larian di tempat terakhir dengan catatan 24.18 saat.
Sementara itu, Mohd. Poad nyata gembira dengan prestasi kedua-dua atlitnya pada kali ini dan berhasrat agar kedua-duanya dapat mencipta kejutan pada Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Brunei Darussalam 21 November ini.
“Alhamdulillah, kedua-dua atlit saya berjaya mencatatkan masa terpantas kali ini dan harapan saya selepas ini agar kedua-duanya dapat memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter di Brunei kelak.
“Tentangan yang akan diterima pastinya dari atlit Thailand dan Indonesia, namun saya pasti tahap keyakinan atlit saya terutama Badrul Hisyam semakin meningkat selepas kejohanan di UniMAP ini sekaligus dapat mempertahankan kedua-dua pingat emas yang dimenanginya pada ASG di Manila Filipina tahun lalu,” ujarbeliau.