- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Badrul Hisyam Muncul Raja Pecut Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP
Arau, 9 Oktober – Atlit Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) mengenepikan saingan atlit elit negara untuk meraih kedudukan pertama dan kedua acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP Kali Ke-4 di Stadium Syed Sirajuddin Areeb Putra di sini.
Selain itu, Badrul Hisyam Abdul Manap, 18 dan Khairul Hafiz Jantan, 17 masing-masing mencatatkan 10.50s dan 10.53s untuk menumpaskan Harith Ammar Mohd. Sobri yang sekadar mencatatkan masa 10.67s.
Catatan masa tersebut juga merupakan rekod peribadi kedua-dua atlit tersebut yang dilatih sepenuhnya oleh guru SSTMI, Mohd. Foad Kassim selain turut memadamkan rekod kejohanan 10.55s yang dilakar oleh Harith Ammar tahun lalu.
Lebih membanggakan, kedua-dua atlit tersebut juga melepasi had kelayakan 10.55 yang ditetapkan untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang akan berlangsung di Kazan, Russia, pada bulan Julai 2016.
Badrul Hisyam berkata, sasaran beliau pada kejohanan ini sebenarnya hanya untuk mencatatkan masa terbaik bagi mencerahkan peluang untuk beraksi di Kazan, tahun hadapan.
Tambahan pula ia disertai oleh nama-nama besar olahraga negara seperti Harith Ammar dan Mohd. Izuddin Yahya (Cikgu Din) yang masing-masing mempunyai catatan terbaik di bawah 10.50.
“Saya beraksi dengan baik pada saingan separuh akhir pagi tadi dan momentum tersebut berjaya dikekalkan pada saingan akhir.
“Kejayaan ini sangat bererti buat saya, kejayaan menumpaskan nama-nama besar merupakan satu bonus dan ia meningkatkan lagi semangat saya untuk memperbaiki catatan masa seterusnya memadamkan rekod kebangsaan milik Watson Nyambek,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatihnya, Mohd. Poad berkata, tempoh kelayakan ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia baru dibuka awal Oktober lalu, dan meski pun telah melepasi had kelayakan, namun peluang masih terbuka luas buat atlit-atlit lain.
“Kejohanan Olahraga UniMAP membuktikan yang Malaysia tidak ketandusan atlit pecut yang mampu mencatatkan masa terbaik.
“Saya mengharapkan atlit saya akan diberi peluang beraksi di kejohanan besar selepas ini selain mengharapkan lebih banyak kejohanan seperti ini dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Negeri dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),” ujarnya.