A+ A A-

Pelajar Kejuruteraan UniMAP Juara Pertandingan Penyampai Radio Karnival Bahasa Jiwa Bangsa  

Kangar, 12 Oktober – Pelajar tahun kedua Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menumpaskan 12 calon lain untuk muncul juara Pertandingan Penyampai Radio Wilayah Utara yang dianjurkan bersempenan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Dengan kemenangan tersebut, Muhammad Izwan Miswan, yang juga merupakan penyampai radio UniMAPfm membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta sijil penyertaan. Naib juara disandang oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Nor Farhatul Eizah Bt Khairunnaim yang membawa pulang wang tunai RM200 beserta sijil.

Seorang lagi pelajar UniMAP, Alli Malar A/P Harikrishnan menduduki tempat ketiga dengan hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100 beserta sijil.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) UniMAP, Prof. Madya Dr. Hj. Huzili Hussin, UniMAP menghantar lima orang calon dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Kedah itu.

Ujar beliau, kesemua pelajar terbabit merupakan ahli Kelab Penyiaran, pelajar kursus kokurikulum Radio Kampus dan penyampai radio UniMAPfm yang sebahagian besarnya tidak mempunyai asas dalam bidang penyiaran radio.

Antara lainnya, ujar beliau, program tersebut bertujuan untuk merakyatkan bahasa dan sastera dan menggalakkan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu tinggi melalui program kebahasaan dan kesusasteraan.

“Selain itu, ia juga merupakan antara inisiatif terbaik DBP dalam menjadikan kegiatan bahasa dan sastera sebagai wadah menimba ilmu pengetahuan menerusi sumber bahasa dan sastera yang betul dan pada masa sama mencungkil bakat sastera dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat.

UniMAP amat berbangga dengan kejayaan Alli Malar, pelajar berketurunan India yang berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan ini dan ia membuktikan UniMAP senantiasa menyemarakkan dan memartabatkan bahasa Melayu di kalangan mahasiswa pelbagai bangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pertandingan tersebut diadili oleh juri Pn. Suryani Mohamad dan En. Jamil bin Isa yang juga merupakan penyampai radio Kedahfm.

Selain Mohd. Izwan dan Mallar Ali, UniMAP turut meraih hadiah saguhati menerusi Mohd Hafizul Fadzli Mohd Ariffin dari PPK Mikroelektronik, Muhamad Fadhil Azhari Abdul Wahab dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Nurul Afiqah Nor Ismail PPK Mikroelektronik.

Kesemua pelajar terbabit diiringi oleh tenaga pengajar UniMAPfm Marzura Mat Arid, Pegawai Tadbir UniMAPfm dan Tengku Mohd Fadli Bin Tengku Hamzah, Penolong Pegawai Penerbitan. Selain UniMAP dan UUM, pertandingan tersebut turut disertai oleh calon penyampai radio dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr. Rosmadi Baharudin, Pegawai Kanan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pelajar Kejuruteraan UniMAP Juara Pertandingan Penyampai Radio Karnival Bahasa Jiwa Bangsa 

Pelajar Kejuruteraan UniMAP Juara Pertandingan Penyampai Radio Karnival Bahasa Jiwa Bangsa 

Pelajar Kejuruteraan UniMAP Juara Pertandingan Penyampai Radio Karnival Bahasa Jiwa Bangsa