A+ A A-

CEGeoGTech UniMAP Jalin Kerjasama Dengan Institut Di Poland

Kangar, 14 Oktober – Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah dalam bidang akademik dan penyelidikan melalui jaringan kerjasama dengan rakan institusi akademik di Poland.

Kerjasama CEGeoGTech dan Institute of Electronic Materials Technology (ITME) Warsaw Poland yang dimeterai menerusi perjanjian surat hasrat itu dibuat bagi meningkatkan impak dan hasilan penyelidikan dalam bidang seramik berasaskan teknologi hijau dan geopolimer yang dijalankan oleh CEGeoGTech.

UniMAP diwakili oleh Pengurus CEGeoGTech, Prof Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah sebagai mewakili Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala ITME diwakili oleh Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan, Prof. Zenon Godziejewski .

Yang turut hadir menyaksikan ialah Saintis dari Jabatan Seramik ITME, Dr. Anna Wajler, Prof. Lech Dobrazanski, Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) UniMAP, Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin serta Pengarah Unit Kelayakan dan Akreditasi Akademik UniMAP, Prof. Madya Dr. Ir. Anuar Mat Safar.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa,  pemilihan ITME dibuat berdasarkan pencapaian dan reputasi intitut berkenaan dalam bidang penyelidikan seramik dengan gabungan elemen elektronik.

“Dalam usaha memenuhi sasaran menghasilkan penyelidikan berimpak, CEGeoGTech sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang masih muda perlu mengembangkan jaringan kerjasama dengan institusi penyelidikan ternama di dunia yang dapat membantu kami meneroka penyelidikan teknologi terkini selain membantu dalam aspek penjanaan kewangan.

“ITME misalnya, merupakah sebuah pusat penyelidikan unggul di Poland yang memiliki kepakaran 150 saintis bertaraf dunia dan satu yang menarik minat kami di CEGeoGTech ialah, penyelidikan yang dijalankan oleh institute ini adalah berfokus menerusi 16 jabatan terfokus yang telah ditubuhkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Dr. Mustafa, ITME yang ditubuhkan pada tahun 1979 juga hanya menerima kira-kira 20 peratus peruntukan daripada kerajaan manakala baki peruntukan diperolehi menerusi geran penyelidikan dalam dan luar negara terutama dari negara di Kesatuan Eropah (EU).

Ujar beliau, UniMAP kini sememangnya berazam untuk meningkatkan jaringan kerjasama dan perolehan geran dari negara-negara di Kesatuan Eropah selepas menerima validasi yang menjadikan UniMAP antara tiga Universiti Awam (UA) di Malaysia yang boleh memohon geran dari EU.

“Hasil kerjasama yang termeterai hari ini, ITME bersetuju membantu CEGeoGTech dalam apa sahaja bidang kajian dan penyelidikan berasaskan bahan termaju dan memberi ruang untuk penggunaan alatan secara bersama.

“Selain itu, sesuatu yang menarik minat kami bagi merealisasikan kerjasama ini ialah apabila melihat sistem penyelidikan yang dijalankan oleh ITME iaitu transformasi dari penyelidikan asas kepada penghasilan produk dalam skala kecil dan sederhana,” ujarnya lagi.

Terdahulu Dr. Mohd. Mustafa yang mewakili Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) turut memeterai kerjasama persefahaman dengan Persatuan Penyelidik dan Pencipta Poland (SPWIR) bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan dalam pameran dan pertandingan rekacipta di negara-negara di EU.

SPWIR diwakili oleh Presidennya, Prof. Michael Szota.

CEGeoGTech UniMAP Jalin Kerjasama Dengan Institut Di Poland

CEGeoGTech UniMAP Jalin Kerjasama Dengan Institut Di Poland

CEGeoGTech UniMAP Jalin Kerjasama Dengan Institut Di Poland