A+ A A-

Kajian Inovasi Sisa Pepejal Insinerator Sebagai Sumber Bahan Pembinaan Raih Pingat Emas di Poland

Kangar, 15 Oktober – Kajian inovasi berasaskan sisa pepejal insinerator sebagai bahan baharu industri pembinaan berjaya meraih pingat emas dalam pameran dan pertandingan rekacipta “The 9th International Warsaw Invention Show” (IWIS 2015) berlangsung di University Warsaw, Poland selama tiga hari berakhir semalam.

Kajian tersebut merupakan hasil penyelidikan bersama antara penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan University Technology of Chemical and Metallurgy Bulgaria (UTCM).

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, kajian inovasi tersebut dicetuskan susulan masalah yang dihadapi oleh sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti insinerator di Sofia yang merupakan ibu negara Bulgaria.

Menurut beliau, penyelidik UTCM, Prof. Madya Dr. Andriana Surleva Iliana Batcheva dan Gabriela Atanassova telah diberi mandat untuk mengkaji inovasi yang boleh dihasilkan melalui sisa pepejal insinerator tersebut khususnya yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

“Memandangkan saya pernah menjalankan kajian yang hampir sama menggunakan abu terbang untuk menghasilkan simen bahan baharu untuk sektor pembinaan, pihak UTCM menjemput saya untuk sama-sama terlibat dalam penyelidikan ini.

“Penyelidikan ini membuktikan, meskipun pelupusan sisa pepejal dibuat menggunakan insinerator, namun hasil pembakaran insinerator itu boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang memberi pulangan kepada negara,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

UniMAP turut meraih lapan lagi pingat emas, satu pingat platinum dan lima perak serta lima Anugerah Khas dalam pertandingan yang disertai oleh 20 buah negara antaranya Jepun, Greece, Korea Selatan Maldova, Lebanon, Taiwan, Iraq, Thailand, Iran dan Indonesia.

Selain inovasi dari CEGeoGTech, UniMAP turut menghantar inovasi ciptaan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Teknologi Termaju (ACE), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sensor Termaju (CEASTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bioproses, PPK Mikroelektronik, Pusat Bahasa Antarabangsa dan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM).

Pingat platinum disumbangkan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Anuar Mat Safar yang turut meraih anugerah khas Chinese Innovation and Invention Society manakala pingat emas disumbangkan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Dr. Rashidi Che Beson, Dr. Syed Zulkarnain Syed Idrus dan Sharmini Abdullah.

Empat lagi inovasi yang menyumbangkan pingat emas dan anugerah khas merupakan hasil penyelidikan Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin yang meraih anugerah khas Association of Thai Innovation and Invention Promotion; Noor Shazliana Aizee Abidin meraih anugerah khas Maldova; Fathinul Shahir Ahmad Shahir (Romanian Inventor Forum Price) dan Mohd Fathullah Ghazali (IWIS Poland Special Award).

Dr. Kamarudin Hussin berbangga dengan pencapaian para penyelidik UniMAP dalam pertandingan tersebut yang dicapai melalui kerjasama berpasukan yang dipupuk menerusi penubuhan pusat kecemerlangan dan komitmen berterusan Pusat Pengajian.

“Kejayaan meraih pingat platinum serta lima anugerah khas menerusi pertandingan ini merupakan kejayaan besar buat UniMAP. Tahniah kepada semua penyelidik yang berjaya dan semoga kejayaan ini akan terus memacu kegemilangan UniMAP di pentas dunia,” ujarnya.

Kajian Inovasi Sisa Pepejal Insinerator Sebagai Sumber Bahan Pembinaan Raih Pingat Emas di Poland