A+ A A-

Penyelidik Wanita UniMAP Raih International Gold Winner di London

Kangar, 16 Oktober – Penyelidik wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Dr. Noorhafiza Muhammad mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila meraih anugerah tertinggi International Gold Winner dalam Europian Union of Woman Inventors & Innovators Network (EUWIIN) yang berlangsung di British Library, London.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, Dr. Noorhafiza berjaya menarik minat Sembilan juri yang mengadili EUWIIN pada pertandingan kali ini yang diketuai oleh Diane Morris dari EUWIIN International.

Ujar beliau, kejayaan pensyarah kanan UniMAP yang juga penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) itu membuktikan, penyelidikan sememangnya menjadi agenda penting UniMAP dan tidak terhad kepada penyelidik lelaki semata-mata.

Menurut beliau, Noorhafiza merupakan antara penyelidik wanita UniMAP yang begitu aktif dalam bidang penyelidikan dan diharap kejayaan yang diraih itu diharap mampu memberi inspirasi kepada penyelidik wanita muda yang lainnya di UniMAP.

“Syabas dan tahniah kepada Dr. Noorhafiza dan saya mengharapkan kejayaan ini akan berterusan di masa-masa akan datang terutama dalam memartabatkan bidang penyelidikan dan pembangunan dan pada masa sama meraih ilmu pengetahuan baru,” ujar beliau.

EUWIIN dianjurkan oleh Global Women Inventors and Innovators Network (GWIIN) yang mengumpulkan saintis-saintis wanita dalam pelbagai bidang penyelidikan dengan disertai lebih 20 buah negara antaranya United Kingdom, Ireland, Finland, Sweeden, Jerman, Iceland, Switzerland, Latvia, China, Taiwan dan Bahrain.

Turut menyertai Dr. Noorhafiza dalam pertandingan tersebut ialahpenyelidik muda dari dua buah sekolah angkat UniMAP iaitu Sek. Men. Sains (SMS) Hulu Selangor dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Rawang yang menyaksikan penyelidik SMS Hulu Selangor dinobatkan sebagai Youth Overall Platinum Winner.

Turut menerima pengiktirafan ialah Pengurus CEGeoGTech, Prof. madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah yang dianugerahkjan Ambassador Award sebagai penghargaan atas sumbangan beliau mempromosikan agenda penyelidikan terutama di kalangan penyelidik wanita.

Dalam pada itu, Dr. Noorhafiza yang juga penerima anugerah Nasional Fellowship Untuk Wanita dalam Sains oleh L'oreal Malaysia pada tahun lalu berkata, kejayaan tersebut bukanlah kekuatan peribadi beliau, sebaliknya ia merupakan pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan yang dijalankannya.

“Penyelidikan yang dihasilkan saya iaitu Laser Surface Modification Of Biomaterials For Coronary Stent Applications itu bukan kejayaan peribadi dan UniMAP semata-mata tetapi kejayaan kepada dunia perubatan sekaligus dapat membantu golongan yang menghidapi penyakit koronari.

Jelasnya, penyelidikan tersebut yang dijalankan bertujuan untuk  menyelamatkan lebih ramai nyawa yang menghidap penyakit jantung yang semakin meningkat di negara ini yang mana ia melibatkan penstrukturan permukaan jaringan logam menggunakan laser.

“Tujuan utama penstrukturan adalah untuk memudahkan proses endotiliasisasi pada jaringan logam yang akan menghasilkan tindakbalas bersesuaian pada tisu biologikal dengan peningkatan prestasi jantung yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, Dr. Noorhafiza turut diundang sebagai pembentang utama dalam forum wanita yang disertai oleh lebih 300 peserta dari seluruh dunia melalui topik “From Research To Award Winning Discoveries And Innovation”.

Selain beliau, turut diundang sebagai pembentang ialah Presiden Riffa Cultural Society Bahrain, Dr. Jamal Hala; Pengasas dan Ketua Pegawai eksekutif Haute Arabia, Ms. Romana Abu Baker; Pengasas dan Pengerusi Arab International Woman’s Forum, Haifa Fahoul Al Kaylabi dan Arkitek Marks Barfield Architects yang merupakan arkitek London Eye, Julai Barfield.