A+ A A-

Lima Rekod Kejohanan Lebur Pada Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP  

Arau, 12 Oktober – Kejohanan Olahraga Tertutup Universiti malaysia Perlis (UniMAP) Kali Ke-11 yang melabuhkan tirainya pada malam tadi menyaksikan lima rekod kejohanan berjaya dipecahkan oleh atlit-atlit dari 10 Pusat Pengajian yang mengambil bahagian.

Daripada kelima-lima rekod kejohanan tersebut, empat darinya merupakan rekod bagi acara pelajar lelaki manakala Fabiatuladawiyah Mohd. Zaimi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik muncul satu-satunya pelajar wanita yang memecahkan rekod kejohanan bagi acara lontar peluru sekaligus meraih emas acara tersebut dengan lontaran sejauh 7.98 meter.

Kejayaan tersebut sekaligus membolehkan, Fabiatuladawiyah dinobatkan sebagai olahragawati kejohanan apabila turut meraih emas menerusi acara melempar cakera, manakala Raja Pecut UniMAP, Muhammad Zulhilmi Johari dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) pula dinobatkan sebagai olahragawan kejohanan.

Muhammad Zulhilmi menyumbangkan dua emas peribadi menerusi acara 100 dan 200 meter selain turut memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 200 meter. Beliau turut membantu pasukan FTK untuk meraih emas acara 4x100 meter yang turut mencatatkan rekod baru kejohanan iaitu 46.57s.

Satu lagi rekod kejohanan dicatatkan menerusi acara lompat kijang pelajar lelaki apabila pelajar PPKSE, Mad Yusof Madusah melakukan lompatan sejauh 12.79 meter untuk memadamkan rekod sebelum ini iaitu 11.46 meter.

Kejayaan cemerlang yang diraih atlit PPKSE seterusnya membolehkan kontinjen yang diketuai oleh Dekannya, Dr. Haziah Abdul Hamid muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11 menerusi pungutan 11 emas, lapan perak dan tiga gangsa.

Tempat kedua menjadi milik Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan Dan Teknousahawan yang meraih lima pingat emas, empat pingat perak dan lima pingat gangsa, manakala FTK ditempat ketiga dengan empat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejohanan kali ini menyaksikan UniMAP berjaya mencungkil bakat-bakat baharu terutama di kalangan pelajar tahun satu untuk membawa cabaran UniMAP di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2016 nanti.

“Olahragawati pelajar misalnya, merupakan antara bakat baru yang dikenalpasti menerusi kejohanan kali ini. UniMAP melalui Pusat Sukan akan terus memantau prestasi atlit-atlit ini untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka dalam kejohanan yang melibatkan pelajar.

“Jumlah penyertaan pelajar juga meningkat pada tahun ini iaitu seramai 5771 pelajar yang mengambil bahagian berbanding hanya seramai 4309 pelajar mengambil bahagian dalam kejohanan  yang sama pada tahun lepas,” ujarnya.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari mulai 9 Oktober itu disertai oleh 11 Pusat Pengajian di UniMAP. Selain PPKSE, PPIPT dan FTK, kontinjen lain yang mengambil bahagian ialah PPK Bahan, PPK Bioproses, PPK Pembuatan, PPK Mekatronik, PPK Mikroelektronik, PPK Komputer dan Perhubungan, PPK Alam Sekitar dan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM).

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazaly Jali.

Lima Rekod Kejohanan Lebur Pada Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP 

Lima Rekod Kejohanan Lebur Pada Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP