- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Tubuh Kelab Pesara
Kangar, 19 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menubuhkan kelab pesara bagi menjaga kebajikan selain dari menghargai jasa pesara universiti tersebut.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin menyarankan agar satu kelab ditubuhkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang pernah diberikan oleh pesara UniMAP kepada universiti tersebut.
“Jika kita tidak ambil peduli keadaan para pesara, seolah kita telah membuang sebutir permata yang pernah menyinari UniMAP”, katanya dalam Majlis Penghargaan Pesara 2015 UniMAP – Jasamu dikenang yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, baru-baru ini.
Kata Datuk Kamarudin, mereka ini satu ketika pernah memberikan perkhidmatan kepada UniMAP dan apabila mereka sudah bersara, hubungan kekeluargaan antara staf tidak seharusnya putus begitu sahaja.
“Walaupun mereka telah bersara, saya tidak ingin hubungan silaturrahim sesama warga UniMAP terputus dan seharusnya kita mengambil tahu keadaan mereka sekeluarga dalam melayari kehidupan seharian.
“Hal ini kerana, pesara-pesara ini telah hilang punca pendapatan dan dengan cara mengambil tahu, mungkin akan ada bantuan yang boleh kita berikan kepada mereka,” katanya.
Datuk Kamarudin yakin melalui penubuhan kelab yang akan diterajui oleh Jabatan Pendaftar UniMAP akan melancarkan lagi perjalanan kelab tersebut.
“Jabatan Pendaftarlah yang akan bertanggungjawab bagi menyelaras bentuk bantuan yang boleh kita salurkan kepada pesara UniMAP melalui kelab pesara itu nanti,” katanya.
Dalam majlis tersebut, seramai lima pesara UniMAP yang bersara secara pilihan atau bersara wajib diraikan.
Mereka adalah Prof. Dr. Ismail Daut, (mantan Timbalan Naib Canselor, (Penyelidikan dan Inovasi) bersara pilihan selepas menjadi Ahli Parlimen Merbok; Prof. Dr. Sazali Yaacob (mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Tidak ketinggalan, Azmi Ahamad (mantan Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Pendaftar) bersara wajib sebelum dilantik semula secara kontrak; Sahadah Ahmad (akan bersara wajib sebagai Pensyarah Universiti di Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan mulai November 2015); dan Datuk Kamarudin sendiri (bersara wajib pada 10 Februari lalu, sebelum dilantik semula secara kontrak untuk terus menerajui UniMAP).