- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pemimpin Mahasiswa Jangan Syok Sendiri – Naib Canselor UniMAP
Kangar, 12 Oktober - Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin menyeru agar pemimpin mahasiswa jangan menjadi seorang pemimpin yang ’syok sendiri’.
“Jangan biarkan diri pelajar leka dengan kejayaan atau keseronokan hari ini sehingga menjadi pemimpin yang syok sendiri.
”Sebaliknya, peluang harus diambil untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan pada masa yang sama mempelajari secara tidak langsung selokbelok kepimpinan dalam erti kata yang sebenarnya,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2015/2016 yang diadakan di salah sebuah hotel di Alor Setar, baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 33 mahasiswa UniMAP menerima watikah pelantikan sebagai ahli MPP bagi sesi 2015/2016 dan pelajar Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), Rio Iskandar Jasman telah dilantik sebagai Yang DiPertua MPP bagi lantikan MPP baharu ini.
Menurut Datuk Kamarudin lagi, sebagai pemimpin perlu mempunyai ciri-ciri tertentu yang membolehkan orang lain menghormati pemimpin.
“Seorang pemimpin harus mempunyai wawasan dan meletakkan ‘goal’; mengambil risiko; mengguna dan melatih pemimpin yang lain; menurunkan kuasa; mempercayai dan setia kepada pengikut, berkongsi kejayaan; menerima tanggungjawab, seorang yang kongruen; mempunyai standard etika tersendiri; dan seorang yang tegas,” katanya.
Majlis penyerahan watikah pelantikan ini merupakan simbolik kepercayaan pihak Pengurusan Universiti serta mandat daripada semua pelajar terhadap 33 orang MPP Sesi 2015/2016.
“Kepercayaan dan mandat diberikan ini amatlah besar ertinya dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Saya juga berharap MPP yang baharu ini menyedari bahawa peluang untuk menempatkan diri dalam Majlis Perwakilan Pelajar ini adalah satu cabaran yang sangat besar dan berat untuk digalas.
“Walaupun kelihatan seperti satu jawatan yang popular tetapi ia sebenarnya bukanlah satu keistimewaan atau privilege”, katanya.
Dr. Kamarudin turut menyeru sebagai pemimpin pelajar perlu menjadi ‘role model’ dalam semua aspek sama ada dari aspek kepemimpinan, pengurusan, tingkah laku berkomunikasi, pergaulan dan tidak kurang juga dalam mengekalkan pencapaian akademik yang cemerlang.
“Seorang pemimpin harus juga menyedari bahawa dirinya akan sentiasa diperhatikan dan diadili. Justeru, berusahalah agar kepercayaan dan keyakinan rakan-rakan tidak dirosakkan oleh anasir-anasir negatif yang sentiasa memandang serong dengan pelbagai persepsi,” katanya.
Beliau nyata berbangga dengan pelajarnya yang berani tampil menawarkan diri untuk menjadi calon dan beliau percaya keyakinan yang ada pada diri pelajar ini sedikit sebanyak disemai melalui pelbagai aktiviti kepimpinan yang dianjurkan oleh HEPA selama ini.
Bagi YDP MPP 2015/2016 UniMAP, Rio Iskandar berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap perkhidmatan universiti agar dapat memberikan kepuasan kepada pelajar.
“Kami telah mengaturkan pertemuan bersama pengurusan universiti bagi membincangkan penambahbaikan kepada sistem pengangkutan universiti dan juga perkhidmatan di kolej-kolej kediaman.
“UniMAP telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas yang terbaik kepada pelajar tetapi masalah timbul apabila ada pelajar yang terlepas bas dan terpaksa menunggu lebih lama untuk menghadiri kuliah ataupun pulang ke kolej kediaman,” katanya.
Oleh itu, perbincangan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Darat ( SPAD) bagi membuka laluan dalam kampus kepada MyBAS akan diperhalusi bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar.
Malah penambaikan kepada perkhidmatan di kolej-kolej kediaman seperti perkhidmatan dobi, internet wifi juga akan dilaksanakan secara berperingkat.