- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Dalami Bidang Sains Dan Inovasi Di Sekolah- Raja Muda Perlis
PADANG BESAR, 19 Okt (Bernama) -- Perkembangan teknologi hari ini semakin penting dan institusi pendidikan perlu memberi lebih tumpuan bagi mendalami bidang sains dan inovasi, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Selain daripada itu, era pengajaran dan pendidikan berasaskan teori bukan lagi menjadi medium utama untuk mendalami bidang sains dan inovasi, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian semasa menutup Kem Robotik & Inovasi Perlis 2015 di Kampus UniMAP Uniciti Alam, Sungai Chuchuh di sini, hari ini.
Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan TNC (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Abdul Hamid Adom turut hadir.
Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah teknologi robotik misalnya merupakan bidang teknologi moden baharu merentasi beberapa bidang kejuruteraan tradisional yang tidak boleh dipisahkan daripada pelajar.
Baginda berharap lebih tumpuan diberi untuk mendalami teknologi robot yang memerlukan pengetahuan mendalam mengenai kejuruteraan elektrik, elektronik, mekanikal, sains komputer, pembuatan, kejuruteraan aplikasi dan kejuruteraan pengetahuan yang bermula dengan asas matematik dan sains.
"Bidang robotik juga menjanjikan peluang pekerjaan lebih tinggi dalam sektor perindustrian. Dengan peningkatan kos buruh dan saingan yang kompetitif, sektor industri tiada pilihan dan terpaksa menggunakan teknologi robotik untuk mengeluarkan produk mereka," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin berharap Malaysia dapat mengeluarkan tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi seperti kejuruteraan robotik supaya selari dengan kepesatan pembangunan bagi menjadi negara perindustrian yang maju.
Program julung kali itu dianjurkan oleh Institut Kepimpinan Strategik dan Komuniti (IKSK) UniMAP, Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS), Jabatan Pendidikan Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.
Kem tiga hari iu bermula 17 Oktober lepas disertai 72 pelajar tingkatan tiga dan empat mewakili 23 sekolah terpilih dari seluruh Perlis.