A+ A A-

20 Staf UniMAP Terima Watikah Ketua Juruaudit MS ISO 9001:2008

Arau, 21 Oktober – Seramai 20 orang staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima watikah pelantikan Ketua Juru Audit MS ISO 9001:2008 yang mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui Badan Persijilan United Kindom (IRCA) .

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin kesemua staf terbabit merupakan penyelaras Jaringan Industri dan Kualiti (JIPK) di Pusat Pengajian serta juruaudit dalaman Sistem Pengurusan Strategi dan Kualiti (SPSK) UniMAP.

Menurut beliau, kejayaan kesemua staf terbabit adalah sesuatu yang membanggakan dalam usaha memperkukuhkan intergriti dan kualiti pentadbiran di peringkat pusat pengajian dan universiti.

“Kesemua staf ini telah mengikuti kursus Ketua Juruaudit yang telah berlangsung pada 10 hingga 14 Ogos lalu dan kesemuanya telah berjaya mencatatkan keputusan lulus dengan cemerlang.

“Saya percaya, ia sedikit sebanyak disumbangkan oleh pendedahan awal yang diterima menerusi kursus persedian ketua juruaudit yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PUSPEK) dan fasilitator jemputan En. Abdul Ghani Fathil yang juga Pengurus Kualiti UniMAP,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis pemakaian Jaket Ketua Juruaudit dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Naib Canselor sendiri dengan diiringi oleh Penolong Naib Canselor PUSPEK, Prof. Madya Abdul Aziz Mahmuddin. Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama, UniMAP melalui Yayasan UniMAP turut memeterai perjanjian kerjasama dengan Total Organization Management Consulting (M) Sdn. Bhd. (TOM C) yang antara lainnya bertujuan melahirkan lebih ramai pelatih pengurusan strategic di UniMAP.

UniMAP diwakili oleh Datuk Naib Canselor yang merupakan Pengerusi Yayasan UniMAP, manakala TOM C diwakili oleh Pengarahnya, En. Azizul  Azmi Abdul Rani dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan UniMAP, Dr. Syed Zulkarnain Syed Idrus, dan wakil TOM C, Norhayati Omar.

Menerusi perjanjian tersebut, Yayasan UniMAP akan menjadi jurulatih kepada Strategic Management Decision Tools Workshop yang akan dipasarkan oleh TOM C (M) Sdn. Bhd.