A+ A A-

Anggota Palapes Wajar Sertai Askar Wataniah, Titah Raja Muda Perlis

Alor Setar, 24 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang berjaya menamatkan latihan wajar menyertai Askar Wataniah.

"Adalah menjadi kewajipan anggota Palapes berkhidmat dengan Tentera Darat atau menyertai Askar Wataniah bagi membalas jasa kerajaan membiayai latihan mereka.

"Majikan juga harus memahami komitmen bekas anggota Palapes dengan memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk menyumbang khidmat bakti tidak ternilai kepada negara," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada majlis Santapan Malam Rejimental Sempena Pertauliahan DiRaja Pegawai Kadet Palapes Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pengambilan Ke-8 Tahun 2015, di sini, malam tadi.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Panglima briged Ke Enam Infantri, Brig. Jen. Marzuki Muhammad dan Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail.

Menurut baginda, majikan pada awalnya mungkin berasa timbul sedikit masalah melepaskan pekerja mereka menjalani latihan namun akan menyedari sumbangan tersebut adalah antara faktor negara terus aman dan selamat.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah anggota-anggota Palapes perlu sentiasa memberi tumpuan terhadap profesion ketenteraan serta mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan agar tahap profesionalisme mereka terus meningkat.

Baginda selaku Canselor UniMAP dan juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Ketri, Padang besar bertitah anggota-anggota Palapes juga harus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan.

"Saya berharap tuan-tuan melaporkan maklumat anasir-anasir yang berupaya mengancam keselamatan negara.


"Pekerjaan sebagai pegawai tentera merupakan satu komitmen selain tugas mulia yang berhubung kait dengan amalan 'Defender of The Faith, King and Country' di samping memupuk semangat kesetiaan kepada negara," tambah baginda.

Menurut baginda kerjaya dalam bidang ketenteraan walaupun tidak istimewa namun ia diiktiraf sebagai 'A noble and reputable profession.'

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik UniMAP 2015 iaitu Ezza Rina Mohd Isa (keseluruhan), Phuah Yong Zen (akademik) dan Mohamad fadhil Azizi (ketenteraan).


-- BERNAMA

Palapes