A+ A A-

Mahasiswa USIM Juara Pidato Dakwah Belia Islam

ARAU, 25 Okt (Bernama) -- Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Siti Suhailah Shaharuddin menjuarai Pertandingan Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Pelajar tahun dua Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Pengajian Fiqh dan Taqwa menewaskan enam peserta lain pada peringkat akhir di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Siti Suhailah, 22, yang berpidato 'Belia Islam Agen Transformasi Ummah' berkata beliau tidak menjangka menang memandangkan persaingan hebat oleh para peserta.

"Alhamdulillah... ini rezeki saya," kata pelajar itu semasa ditemui selepas menerima hadiah wang tunai, piala pusingan, piala iringan dan sijil daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

Siti Suhailah berkata beliau juga berhasrat menyertai progam realiti Islamik Da'i-Pendakwah Milenia.

Tempat kedua disandang oleh mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Nurul Afifah Mohd Salleh dan ketiga, mahasiswa USIM, Irfan Mohd Fairus.

Othman yang ditemui pemberita selepas pertandingan itu berkata pertandingan pidato itu bertemakan 'Belia Islam Agen Transformasi Ummah' adalah julung kali diadakan untuk melahirkan pendakwah-pendakwah muda dalam kalangan belia.

"Program ini yang berteraskan pembinaan kepimpinan bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata lebih banyak program untuk menyemarakkan dakwah Islamiah di kampus akan dilaksanakan bagi menangani gejala sosial di kampus selain mendapatkan pandangan generasi muda mengenai hal-hal masyarakat.

Othman berkata golongan belia merupakan aset terpenting negara kerana mereka bakal memikul tanggungjawab dan meneruskan proses pengembangan dakwah, pembangunan ummah dan modal insan.

Pertandingan dianjurkan oleh JAKIM bersama UniMAP, Yayasan Taqwa, Institut Wasatiyyah, iM4U dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM).

-- BERNAMA

Pidato

iti Suhailah Shahruddin (tengah), Nurul Afifah Mohd. Salleh (kanan) dan Irfan Mohd. Firdaus bersam piala masing-masing dalam Pertandingan Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015 di Kampus Pauh Putra

Pidato

Barisan VVIP yang menyaksikan Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015 di Kampus Pauh Putra

Pidato

Para penonton yang terdiri dari siswa-siswi UA yang hadir pada Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015

Pidato

Para peserta akhir bergambar bersama VVIP setelah Majlis Akhir dan Penyampaian Hadiah Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015 di Kampus Pauh Putra