A+ A A-

Lebih 500 Pelajar dan Staf hadiri Tayangan Perdana Filem Love, Supermoon

Arau, 24 Oktober – Lebih 500 pelajar dan staf  Universiti  Malaysia Perlis (UniMAP) menghadiri tayangan khusus filem komedi romantik “Love,Supermoon” bertempat di Dewan Kuliah 1, Kampus Pauh Putra.

Tayangan itu merupakan anjuran bersama, Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) UniMAP dan Kelab Seni Lakon dan Kreatif (UPACC) UniMAP dengan kerjasama Syarikat produksi Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

Pengarah Unit Kebudayaan dan Rekreasi UniMAP, Mohd Izwan Izhar Haris, berkata, beliau tidak menyangka dengan sambutan yang memberangsangkan dari pelajar dan staf UniMAP.

“Saya berasa amat teruja dengan sambutan yang diberikan, bahkan pihak GBSB juga tidak menyangka dewan kuliah yang kita sediakan penuh dengan penonton.

“Jika diberikan peluang lagi oleh pihak GBSB, Insyaallah kita akan cuba untuk menganjurkan tayangan seperti ini lagi di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas tayangan tersebut, di sini.

Turut hadir, Pengarah Unit Penerbitan UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji.

Ujar Mohd Izwan lagi, beliau turut berterima kasih kepada pihak GBSB kerana telah memilih UniMAP sebagai lokasi pertama bagi Tayangan Perdana filem tersebut.

“Kita juga berasa amat bertuah kerana pelakon utama filem ini iaitu Farid Kamil dan Nadiya Nisaa  serta penyanyi  runut lagu filem Love, Supermoon Yuka Kharisma turut hadir untuk berjumpa dan bermesra dengan peminat,”katanya lagi.

Selepas tayangan di UniMAP, pihak GBSB meneruskan jelajah tanyangan filem tersebut ke Aman Sentral, Alor Setar dan Amanjaya Mall Sungai Petani.

Love

Nadiya Nisaa dan Farid Kamil menandatangan Autograf pada peminat sewaktu selesai tayangan filem tersebut.

Love

Prof. Dr. Asiah Sarji dengan ditemani En. Mohd Izwan Izhar Haris sedang berramah mesra bersama Nadiya Nisaa dan Farid Kamil.

Love

Nadiya Nisaa dan Farid Kamil bergambar beramai-ramai bersama peminat sewaktu selesai tayangan filem tersebut.