- Kategori: BERITA - Malay
Tiga Buah Sekolah Berasrama Penuh Bakal Terima Kepakaran Teknologi Solar UniMAP
Kangar, 26 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal berkongsi kepakaranya dalam teknologi solar dengan tiga buah sekolah berasrama penuh di kawasan utara.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, perkongsian kepakaran itu bertujuan bagi memupuk minat pelajar-pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Langkah ini juga bertujuan bagi memastikan minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dipertingkat bagi mencapai sasaran Dasar Sains Teknikal dan Sastera pada nisbah 60:40.
“Ia selaras dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang mahukan peningkatan bilangan pelajar aliran Sains kerana pendidikan STEM merupakan tunggak bagi negara yang ekonominya berasaskan pengetahuan dan inovasi,”katanya ketka ditemui pada Majlis Graduasi Ke-30 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Beseri, di sini baru-baru ini.
Katanya lagi, antara sekolah yang bakal ditawarkan kepakaran teknologi solar ini adalah MRSM Kubang Pasu, MRSM Beseri dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP).
“Perkongsian ini adalah dibawah kelolaan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik dan buat buat permulaan, kita memilih tiga sekolah ini bagi menjalankan projek tersebut dan ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah lain mengikut kesesuaian”katanya lagi.
Ujar Datuk Dr. Kamarudin lagi, tiga projek yang bakal ditawarkan itu adalah, “Green Gazebo” untuk MRSM Kubang Pasu, “Water Fountain” MRSM Beseri dan Taman Teknologi Hijau untuk SMSTSP menggunakan tenaga solar untuk menghidupkan lampu, kipas, pam air dan lain-lain peralatan elektronik termasuk usb.
“Pihak UniMAP akan membekalkan dan membuat pemasangan untuk semua peralatan iaitu panel solar, bateri, pam air dan lampu solar dengan kos berjumlah RM5,000,”katanya lagi.