- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Golongan Muda Harus Kembali Ke Fitrah Asal – Naib Canselor UniMAP
Kangar, 28 Oktober – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin menyeru masyarakat untuk kembali kepada fitrah asal.
“Masyarakat terutamanya golongan muda perlu belajar mendalami sejarah dan perit jerih perjuangan tokoh-tokoh terdahulu untuk memupuk rasa cinta kepada Negara dalam hati dan sanubari masing-masing.
“Sejarah adalah bukti kepada setiap peristiwa dan kejadian,” kata Datuk Kamarudin dalam teks ucapan aluan yang dibacakan oleh Felo Penyelidik Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP, Mohd Kasturi Nor Abd. Aziz pada Majlis Peramian Polimek Sejarah Malaysia sesi ke – 37 dengan tajuk “Sejarah Awal Perlis”, pagi tadi.
Ujarnya lagi, sejarah bukan sahaja sebagai bukti keunggulan sesuatu tamadun, bangsa dan pencapaian bangsa tersebut bahkan sejarah amat penting menentukan jati diri dan kelangsungan kuasa politik sesuatu bangsa.
Selain itu, sejarah juga boleh menjadi pemangkin kepada lonjakan sesuatu bangsa.
UniMAP menjadi penganjur ke – 37 siri jelajah Majlis Polimek Sejarah Malaysia anjuran Arkib Negara Malaysia yang berlangsung Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah di Kampus Induk UniMAP Pauh Putra.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pengembangan) Arkib Negara Malaysia, Savumthararaj A/L Gopal.
Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan dan Dokumentasi Arkib Negara Malaysia, Samariah Md Ali; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan yang juga bertindak sebagai pengerusi sesi.
Antara pembentang kertas kerja adalah Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Dr Mohd Supian Sabtu dari Universiti Malaya (UM); dan Dr Hazman Hassan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
Untuk rekod, setakat Ogos 2015, program ini telah dijalankan sebanyak 36 sesi yang melibatkan pembentangan 101 kertas kerja dan dimulakan pada tahun 1994.
Sebanyak 19 sesi awal menyentuh tentang zaman Pra-Sejarah; Pra-Melaka; Kesultanan Melayu Melaka; Pra-Kesultanan Johor – Riau dan Kesultanan Johor – Riau yang berfokus kepada pengasasan, politik, pemerintahan, perdagangan, sosio budaya, agama, bahasa, penempatan, sistem penggantian, sumber-sumber asing dan tempatan, perundangan, adat istiadat.
Sesi ke – 20 hingga 22 yang berlangsung pada 21 Mac 2002, 9 Mei 2006 dan 3 November 2008 berkisarkan tema Malaysia Sehingga Abad ke – 20 yang memberi fokus perbincangan kepada Kerajaan Kedah dari sudut politik, pentadbiran, perundangan, dan hubungan luar, ekonomi dan perdagangan, serta bahasa, kebudayaan, adat, budaya.
Program ini diteruskan dengan mengangkat tema Penempatan dan Kerajaan Awal Malaysia sebelum 1400 masihi berfokus dengan Petempatan Awal Sarawak, Sejarah Awal Kelantan, Sejarah Awal Pahang, Sejarah Awal Perak.
Terkini, dengan tema yang sama, Majlis Polimek Sejarah Malaysia diteruskan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka.