A+ A A-

UniMAP Tubuh RETRACE, Fokus Pembelajaran Sepanjang Hayat

Kulim, 2 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menubuhkan Pusat Latihan Penyelidikan dan Pengajian Berterusan (RETRACE) yang bakal memberi fokus kepada aspek penyelidikan dan pengajian pasca siswazah dengan sasaran utama dari kalangan 20,000 pekerja sektor perindustrian di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, RETRACE yang telah beroperasi sepenuhnya di pejabat Anjung UniMAP Kulim di KHTP merupakan sebahagian daripada inisiatif UniMAP untuk membudayakan aktiviti pengajian berterusan dan penyelidikan di kalangan warga KHTP.

Menurut beliau, penubuhan RETRACE juga bertitik tolak daripada kepimpinan tertinggi kerajaan Negeri Kedah untuk mempercepatkan peningkatan warga KHTP yang berijazah tinggi ke arah mencapai status taman industri penyelidikan.

Dr. Kamarudin berkata, peningkatan kakitangan berijazah tinggi merupakan kriteria utama yang akan membantu melonjakkan taman teknologi tersebut kepada status Taman Industri Penyelidikan, satu status yang lebih tinggi daripada status sedia ada.

“Justeru, sebagai permulaan, UniMAP bakal menawarkan pelbagai kursus Sarjana dan Doktor Falsafah selain penawaran kursus jangka pendek dengan tumpuan permulaan kepada kursus-kursus sedia ada yang telah ditawarkan di UniMAP.

“Menerusi inisiatif ini, kami berharap dapat menyokong agenda kerajaan negeri dalam aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi meneruskan pengembangan syarikat-syarikat yang bertapak di taman industri seterusnya meningkatkan peratusan kakitangan yang memiliki ijazah tinggi,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Penawaran Mod Campuran RETRACE UniMAP di Anjung UniMAP Kulim di sini hari ini.

Yang turut hadir, President Kulim Tekchnology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) Dato’ Dr. Anuar Mohd. Saffar, Pengarah Strategik Kejuruteraan Intel Malaysia, Mohd. Parid Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut Dr. Kamarudin, RETRACE tertubuh hasil sokongan dan komitmen daripada kerajaan negeri dan industri yang mana KTPC sendiri telah memberikan pengecualian sewaan kepada UniMAP untuk tempoh dua tahun yang membabitkan kos RM240,000.

Selain  itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pula bersetuju menaja pembinaan makmal penyelidikan bernilai RM1.4 juta yang mana ia bakal memberikan manfaat besar kepada para pelajar untuk menjalankan penyelidikan dan ujikaji.

UniMAP juga akan menyediakan kemudahan lengkap kepada pelajar seperti dewan dan bilik kuliah, makmal komputer, bilik diskusi dan perpustakaan mini yang dilengkapi kemudahan buku dan akses kepada sumber atas talian secara remote.

“Ia meliputi akses kepada 1.7 juta e-buku, 15,000 e-jurnal dan lain-lain rujukan virtual dan online dari seluruh dunia kepada para pelajar di RETRACE untuk memenuhi keperluan maklumat pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan,” ujar beliau lagi.

Datuk Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin melancarkan Program Mod Campuran RETRACE UniMAP di Anjung UniMAP Kulim, Kedah semalam sambil disaksikan oleh wakil-wakil industri dan pengurusan tertinggi UniMAP.

Datuk Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin bergambar bersama rakan-rakan industri di KHTP selepas melancarkan Program Mod Campuran RETRACE UniMAP di Anjung UniMAP Kulim, Kedah semalam.