- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Komited Realisasikan Lonjakan Pertama PPPM (PT)
Kangar, 4 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam merealisasikan lonjakan pertama yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 (PPPM (PT) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 7 April 2015 lalu.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, lonjakan pertama adalah berkait langsung dengan para pelajar.
“UniMAP komited untuk memberikan peluang kepada anak-anak mahasiswa untuk menikmati pendidikan holistik yang menjurus kepada enam atribut atau domain utama.
“Enam atribut tersebut ialah etika dan kerohanian; kemahiran memimpin; identiti nasional; kemahiran bahasa; kemahiran berfikir; dan pengetahuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Ceramah Keusahawanan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proven Group of Companies merangkap Profesor Adjung UniMAP, Dato’ Yusof Jusoh yang diadakan di Dewan Kecemerlangan Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra semalam.
Antara panel lain yang turut serta dalam ceramah keusahawan itu adalah Perunding Maybank Shariah Indonesia, Baharudin Abd. Majid; dan Pengarah Urusan Food Artists (M) Sdn. Bhd. (Burger Bakar Abang Don), Sabrie Salleh.
Menurut Datuk Kamarudin, seorang mahasiswa hanya boleh dikatakan mahasiswa yang seimbang sekiranya keenam – enam atribut ini dikuasai sebaik mungkin yang sekaligus menjadikannya seorang graduan yang holistik.
“UniMAP akan membina satu kerangka pemikiran dan disiplin yang khusus bagi membantu pelajar mencapai penguasaan keenam – enam atribut sepanjang pengajian di UniMAP.
Tambahnya, kerangka ini akan membina kelasakan minda, ketahanan fizikal dan kekentalan jiwa untuk berjati diri unggul dan terbilang.
“Memang benar, tidak semua individu akan menjadi usahawan. Namun, memiliki ciri, sikap, mentaliti dan disiplin seorang usahawan itu adalah nilai tambah kepada semua individu yang akan menceburi dalam apa jua lapangan kerjaya,” katanya.
Beliau turut menyeru pelajar untuk memanfaatkan peluang yang diberikan untuk memahami dan mendalami ilmu keusahawanan yang dikongsikan Dato’ Yusof.
“Jadikanlah beliau sebagai lombong ilmu keusahawanan dan tugas anak-anak pelajar adalah sebagai pelombong iaitu mengembleng dan menggandakan usaha untuk mengorek lombong tersebut bagi mendapatkan ilmu keusahawanan dengan sebanyak mungkin,” katanya.
Dato’ Yusof adalah merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proven Group of Companies sebuah syarikat pembinaan dan pembuatan yang berfokus kepada produk Sistem Bangunan Perindustrian (IBS).
Selain itu, syarikat tersebut turut menawarkan latihan IBS bukan sahaja kepada kakitangannya malah kepada pengguna Proven IBS.