A+ A A-

UniMAP Jalankan Kerjasama Penyelidikan Rawatan Air Sisa Dengan Universiti Zagreb, Croatia

Zagreb, Croatia, 7 November – Air merupakan antara sumber semulajadi terpenting dalam kehidupan manusia yang mana bekalan air bersih menjadi antara isu kritikal yang harus ditangani bagi memastikan sumber bekalan terutama untuk kebersihan dan kesihatan awam adalah berkualiti.

Meskipun bekalan air masih mencukupi buat masa ini, namun risiko kekurangan sumber dan bekalan air di masa akan datang juga harus diberikan perhatian serius di peringkat awal lagi.

Atas kesedaran itu, sekumpulan penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah di persada antarabangsa apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan Zagreb Universiti di sini khusus untuk menjalankan penyelidikan rawatan air sisa.

Kerjasama tersebut dimeterai antara CEGeoGTech dengan Jabatan Kejuruteraan Polimer dan Teknologi Kimia Organik (ZPIOKT), yang menjadikan ia kerjasama pertama yang diterokai oleh UniMAP dalam konteks hubungan dua hala di Croatia.

Perbincangan jalinan kerjasama tersebut dihadiri oleh Pengurus CEGeoGTech, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah yang mewakili Naib Canselor, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.

Perbincangan yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Teknologi di bandar Zagreb itu turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UniMAP, Prof. Madya. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali dan penyelidik CEGeoGTech, Dr. Mohd. Firdaus Omar.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri, Zagreb Universiti yang telah mencecah usia 300 tahun merupakan antara universiti tertua di Croatia dan menerajui kedudukan universiti-universiti di Croatia untuk berada di kedudukan ke-564 terbaik di dunia berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Center for World University Rankings pada tahun 2014.

Ujar beliau, perbincangan menumpukan kepada penyelidikan berimpak tinggi dan penghasilan penerbitan berimpak tinggi yang mana kedua-dua pihak bersetuju menjalankan kajian rawatan air sisa menggunakan bahan geopolimer.

UniMAP melalui penyelidik CEGeoGTech sebelum ini telah menjalankan kerjasama penyelidikan dengan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol melalui kajian awal penggunaan bahan geopolimer sebagai agregat tiruan yang digunakan sebagai bahan alternatif dalam rawatan air sisa.

“Melalui kerjasama dengan ZPIOKT ini, ia seterusnya dapat membantu meningkatkan hasil penyelidikan dalam aspek ini memandangkan ZPIOKT banyak menjalankan kajian mengenai rawatan air sisa di Croatia,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kedua-dua pihak turut menandatangani surat hasrat bagi memuktamadkan persetujuan antara kedua pihak dengan UniMAP diwakili oleh Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri manakala Zagreb Universiti diwakili oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Polimer dan Teknologi Kimia Organik,  Prof. Dr. Ana Loncaric Bozic.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa, kajian tersebut kelak akan diketuai sendiri oleh Prof. Dr. Ana Loncaric Bozic serta Dr. Hruoje Kusic yang ketika ini turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa institut di Perancis dan Amerika Syarikat dalam kajian yang sama.

“Semoga perkongsian dan kerjasama ini akan membuahkan sesuatu yang bermanfaat untuk kegunaan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau menambah, sempena kunjungan ke Croatia juga, UniMAP turut mengadakan perbincangan dan lawatan awal ke Karlovac University of Applied Science (VUKA) yang mana perbincangan menumpukan kepada kerjasama dalam aspek Teknologi Makanan dan Mekanikal.