A+ A A-

Penyelidik Malaysia Raih 12 Pingat Emas di Croatia

Kangar, 8 November – Delegasi penyelidik Malaysia yang menyertai International Invention Show (INOVA) yang berlangsung di Croatia mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang 12 emas, enam perak serta satu anugerah Khas.

Dalam pertandingan yang berlangsung selama lima hari itu, penyelidik Universiti malaysia Perlis (UniMAP) yang diketuai oleh Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah mendahului senarai penyumbang pingat terbanyak iaitu tujuh emas dan tiga perak.

Turut menyumbangkan pingat ialah penyelidik muda dari Sekolah Sultan Alam Shah, Selangor dengan dua emas dan satu perak, penyelidik dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Muar (satu emas dan satu perak), SMS Tengku Abdullah (satu emas, satu perak) dan SMS Tapah menyumbangkan satu pingat emas.

Pingat emas UniMAP diraih menerusi Pensyarah di Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT), Dr. Hirwan Jasbir Jaafar dengan hasil penyelidikan bersama Naib Canselor UniMAP sendiri Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin melalui dua modul pendidikan sekolah iaitu Modul EYE dan Modul M2S.

Kedua-dua modul tersebut yang dibangunkan bagi membantu para pelajar sekolah menengah dalam memartabatkan sains dan matematik merupakan penyelidikan bersama yang dijalankan dengan Majlis Guru Cemerlang Perlis.

Menurut Dr. Kamarudin, modul M2S (Mathematics and Science Excellence) juga direka bagi membantu pelajar untuk mempelajari dan menguasai matapelajaran sains dan matematik dan seterusnya meminati kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Lebih membanggakan, ujar beliau, modul tersebut berjaya menarik minat dan perhatian pihak juri untuk diaplikasikan dalam membantu menarik minat pelajar-pelajar di Croatia untuk menguasai kedua-dua mata pelajaran tersebut.

“Modul ini yang menggabungkan pembelajaran di dalam dan di luar kelas digubal khusus untuk membantu pelajar menguasai kedua mata pelajaran tersebut sekali gus membantu pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Menerusi modul ini, pelajar akan diberikan bimbingan dari sudut teknik mempelajari, menguasai kehendak soalan seterusnya menjawab soalan yang dikemukakan selain perlu mengadakan sekurang-kurangnya 14 pertemuan dengan guru,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

INOVA merupakan acara tahunan yag dianjurkan oleh Persatuan Penyelidik Croatia (CIA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan & Ekonomi Croatia, Jabatan Presiden dengan disertai lebih daripada 15 buah Negara antaranya Russia,  Romania, Korea, Maldova, Bosnia, Arab Saudi, Taiwan dan Poland.

Selain Dr. Hirwan Jasbir, turut meraih tumpuan juri ialah produk inovasi Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali  iaitu Papan Lapis Berasaskan Batang Sawit dan Bahan Tambah Semulajadi Daripada Petai Belalang yang juga dinobatkan pemenang INOVA Best Agriculture Award.

Turut menyumbang emas ialah iaitu pensyarah kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Dr. Mohd. Firdaus Omar menerusi hasil penyelidikannya High Performance of Hybrid Natural Fiber Reinforced Composite.

 

Dua lagi pingat emas UniMAP disumbangkan oleh pensyarah PPK Pembuatan, Mohd. Effendi Mohd. Suandi dengan inovasi bertajuk Alarm Reminder Locking (ARL) serta GSM Air Quality Monitoring System to Detect The Haze.