- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bakal Tuan Rumah Entrepreneurship Summer Camp (ESP), 2016
Guanzhao, China, 8 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi tuan rumah “Entrepreneurship Summer Camp” yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan dengan tujuan mendedahkan pelajar-pelajar universiti dengan persekitaran keusahawanan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada perbincangan yang dibuat sempena Asian University Presidents Forum Kali Ke-14 (AUPF) 2015, yang dihoskan oleh Guangdong University of Foreign Languanges (GDUFS) di sini.
Jelas beliau, selain UniMAP, program tersebut yang mengambil konsep penganjuran Asia Summer Program (ASP) akan melibatkan penyertaan 100 pelajar dari Daffodil University, Bangladesh; Universiti Ubudiah Indonesia; Wenzao Ursuline University of Foreign Languages Taiwan dan Mahasarakham University Thailand.
“ASP lebih memberi fokus kepada modul bahasa, budaya dan kesenian manakala penganjuran ESP kelak akan menumpukan kepada aspek keusahawanan dalam usaha melahirkan modal insan yang berfikiran enterprise.
“Melalui penganjuran ESP ini, kita mengharapkan pelajar akan dapat mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih luas seterusnya mengaplikasikan ilmu keusahawanan dalam kehidupan sebenar selepas bergraduat,” ujar beliau.
AUPF 2015 berlangsung selama empat hari berakhir hari ini dengan membabitkan penyertaan dari 33 buah universiti di Asia yang antara lainnya bertujuan mewujudkan satu mekanisme di mana presiden universiti boleh bertukar-tukar maklumat dan pengalaman pengurusan.
AUPF mula diperkenalkan pada tahun 1999 antara universiti di China dan Thailand sebelum dikembangkan penyertaan kepada universiti di Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Jepun, Filipina, Mongolia, Lithuania, Vietnam dan Korea.
Delegasi UniMAP turut disertai oleh Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zin; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad dan Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.
Menurut Dr. Kamarudin lagi, penganjuran program ESP juga merupakan sebahagian inisiatif UniMAP untuk menyuburkan lagi budaya keusahawanan di universiti terutama selepas meraih tempat kedua (kategori institusi) pada Anugerah Kusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (MEA) yang berlangsung minggu lalu.
“Bidang keusahawanan merupakan antara elemen penting bagi memenuhi keperluan industri negara selain memperluas rangkaian ke peringkat global, justeru platform ini digunakan sebaik mungkin untuk melebarkan jaringan perhubungan pelajar Malaysia dan negara luar,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr. Kamarudin berkata, sempena AUPF juga, UniMAP turut mengambil peluang memeterai kerjasama strategik yang memberi fokus utama bidang akademik dan penyelidikan dengan tiga universiti iaitu Southern University Bangladesh, Wenzao Ursuline University of Foreign Languages Taiwan, dan Pan Pacific University North Philippines.
Selain itu, delegasi UniMAP turut mengadakan pelbagai perbincangan rasmi dan tidak rasmi, termasuk dengan Daffodil University Bangladesh, Mahasarakham University Thailand, dan Universitas Potensi Utama, Medan, Indonesia.
“UniMAP turut menerima pelawaan untuk mengadakan kerjasama dgn Chaoshan Vocational & Technical College, China yang mana pelawaan tersebut akan diteliti sebelum perjanjian rasmi dibuat dalam masa terdekat ini.
"Kesemua jalinan kerjasama ini adalah selaras dengan agenda pengantarabangsaan UniMAP dalam usaha menjadi 500 universiti terbaik di dunia menjelang tahun 2020," ujar Dr. Kamarudin.