- Kategori: BERITA - Malay
115 Teknologi Penyelidikan UniMAP Berjaya Dipaten
9 Januari 2015. Pauh Putra – Sebanyak 115 teknologi penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya dipaten dan dilindungi hakciptanya.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom berkata, dari tahun 2009 hingga Disember 2014 terdapat peningkatan bilangan produk penyelidikan yang dipaten dan mendapat hakciptanya.
“Jumlah ini dijangkakan akan meningkat sejajar dengan usaha universiti untuk membudayakan penyelidikan dan inovasi di kalangan pensyarah,” katanya ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor UniMAP pada Majlis Perasmian Seminar Pengkomersilan “From Research To Commercial Value At UniMAP” di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Induk UniMAP di sini, semalam.
Selain paten dan hakcipta, sebanyak dua teknologi penyelidikan UniMAP telah berjaya dikomersilkan, manakala tiga produk lagi akan dikomersilkan melalui Program Symbiosis UniMAP-MTDC-NCIA yang memberi tumpuan kepada bidang ‘biotechnology’ dan ‘agriculture’.
Seminar pengkomersialan tersebut telah mendapat penyertaan seramai 100 pensyarah dan penyelidik UniMAP dengan membariskan dua penceramah iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTHM), Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Noor; dan Pengerusi Eksekutif, Nusantara Technologies Sdn. Bhd., Dato’ Ghazali Dato’ Mohd Yusoff.
Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan Bulan Inovasi UniMAP 2015 bagi memartabatkan lagi usaha UniMAP dalam bidang penyelidikan dan inovasi, pemindahan teknologi, dan pengkomersilan.
“Malah pelbagai program telah diatur sepanjang Januari antaranya Seminar Pengkomersilan, Syarahan Penyelidikan, Bengkel Penulisan Geran, Bengkel Penulisan Jurnal dan Buku dan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UniMAP,” katanya.