- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Dan YTSP Taja Pelajar Ke Taiwan
Kangar, 18 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) akan menaja dua pelajar untuk menyertai Kaohsiung International Invention and Design Expo yang bakal berlangsung di Taiwan bermula 3 hingga 7 Disember nanti.
Perkara tersebut diumumkan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr Kamarudin Hussin ketika sesi penyampaian pingat kepada pemenang yang menyertai Perlis Engineering Research Learning & Innovation Symposium (PERLIS) 2015 di Dewan Kapitol UniMAP, di sini semalam.
“Tajaan tersebut adalah kolaborasi UniMAP bersama YTSP bagi bertujuan menyuntik semangat kepada pelajar untuk lebih mencintai bidang rekacipta.
“Dua pelajar yang masing-masing mewakili Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen terpilih selepas produk mereka muncul sebagai produk terbaik sekaligus mewakili UniMAP ke pameran di Taiwan nanti,” katanya.
Produk pertama yang terpilih adalah Hydro Fertilizer hasil penyelidikan oleh Puteri Nurfarahliana Mansor dan Sara Nurdini Sabry dari SMSTSP.
Manakala produk kedua adalah Tennis Ball Collector oleh Shafiq Rezal; Foo Sher Lee; Wan Muhammad Hazim Wan Noor Azairi; dan Muhammad Aidil Kashul dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen.
Sebanyak 24 produk dari 21 sekolah telah mengambil bahagian dalam pameran yang julung kali diadakan oleh Institut Kepimpinan Strategik dan Komuniti (IKSK) UniMAP dengan kerjasama Malaysian Research & Innovation Society (MyRIS), YTSP dan Jabatan Pendidikan Negeri.
Selain itu, menurut Datuk Kamarudin, UniMAP juga akan menjalinkan hubungan bersama sekolah-sekolah lain di Perlis bagi memastikan bidang TVET akan mendapat tempat di hati masyarakat sekaligus menangkis stigma TVET adalah kelas kedua.
“Ini adalah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti (USR) untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.
“Pada masa yang sama adalah untuk merealisasikan hasrat kita yang ingin berkongsi apa sahaja kepakaran kita demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra hadir merasmikan majlis penutup program tersebut.
Turut hadir Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor UniMAP, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tidak ketinggalan adalah Setiausaha YTSP, Dato’ Johari Mohd Darus; dan Ketua Sektor Pembangunan Manusia wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Amran Rejab.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin menyampaikan ucapan aluan dalam program PERLIS di Dewan Kapitol UniMAP.
Wakil SMK Tuanku Lailatul Shahreen menerima plak dari Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Wakil SMSTSP menerima Hadiah Johan Keseluruhan dari Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor UniMAP bergambar kenangan bersama pemenang pingat emas yang akan ditaja oleh UniMAP ke Taiwan.