- Kategori: BERITA - Malay
Seminar Rahsia Pengacara Hebat Gilap Bakat Pengacaraan
KANGAR,19 November- Umum menyedari pengacara memainkan peranan penting dalam menjadikan sesuatu majlis menarik selain memastikan kelancaran sesuatu program yang dianjurkan.
Dalam membentuk pengacara yang hebat, Unit Latihan, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), telah mengambil inisiatif menganjurkan “Seminar Rahsia Pengacara Hebat” bertempat di Dewan Kapitol UniMAP, di sini baru-baru ini..
Pegawai Tadbir Unit Latihan, UniMAP, Ahmad Zulazmeer Rozali berkata, melihat kepada tuntutan bidang pengacaraan dalam apa sahaja majlis memerlukan seseorang yang mahir dan juga perlu tahu mengendalikan keadaan secara spontan sekiranya majlis tidak berjalan seperti yang dirancang
“Unit Latihan merasakan dengan memberikan pengetahuan asas tentang protokol dan etika majlis serta tunjuk ajar yang berkesan akan dapat melahirkan juruacara yang berketerampilan dalam mengendalikan majlis.
“Di samping itu juga, para peserta dapat mempelajari kaedah berkomunikasi yang lebih efektif dan berpeluang menunjukkan bakat dalam mengacarakan majlis,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seminar selama sehari itu dikendalikan dua personaliti terkenal tanahair,Ahmad Fedtri Yahya dan Mior Abdul Malek Raiyani.Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.
“Pengisian seminar ini adalah pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengacaraan awam agar dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian pengucapan awam.
“Ini adalah sangat penting kerana jabatan kerajaan kerap menganjurkan majlis-majlis rasmi dan seorang pengacara perlulah mempunyai kemahiran bagi memastikan kelancaran majlis tersebut,”katanya lagi.
Ujar Zulazmeer lagi, seramai 250 mengambil bahagian dalam seminar tersebut dan penyertaan peserta bukan sahaja dari UniMAP, malahan ia turut menarik minat penyertaan dari jabatan kerajaan yang lain.
“Antara yang menyertai seminar tersebut dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Pusat Koreksional Negeri Perlis, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pilihanraya Negeri perlis, Jabatan Tenaga Kerja,Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
“Rata-rata maklumbalas yang kami perolehi dari peserta seminar ini memberikan komen yang positif dan berharap agar seminar seperti ini akan dianjurkan lagi untuk masa akan datang,”katanya lagi.