A+ A A-

Vega Squadran Juarai Kem Robotik UniMAP 2015

Kulim, 20 November – Pasukan Vega Squadran muncul juara keseluruhan Kem Robotik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2015 yang berlangsung di Anjung UniMAP, Kulim, di sini baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Vega Squadran membawa pulang wang tunai sebanyak RM 600, medal dan sijil penyertaan.Tempat kedua diraih pasukan Six Blood Brothers yang membawa pulang wang tunai RM450 beserta medal dan sijil penyertaan. Manakala bagi Anugerah Rekabentuk Robot Terbaik dimenangi pasukan Black Widow dan meraihh wang tunai RM300 beserta medal dan sijil penyertaan.

 

Sementara itu bagi Anugerah Kreativiti dimenangi pasukan OTW Nak Menang dan membawa pulang wang tunai RM300 beserta medal dan sijil penyertaan. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Sekreteriat Promosi UniMAP, Prof. Madya Dr. Rizalafande Che Ismail merangkap Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik. Dr. Rizalafande berkata, kem selama dua hari itu merupakan penganjuran bersama Anjung UniMAP Kulim, Sekretariat Promosi dan Unit Komunikasi Korporat UniMAP. “Saya yakin, melalui penganjuran kem seperti ini akan dapat menggalakan pelajar-pelajar sekolah untuk meminati bidang kejuruteraan dan robotik yang ada di UniMAP.n“Selain itu, ia dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk meminati bidang sains supaya pelajar tidak rasa susah atau jemu sebaliknya seronok dan mendapat penghayatan yang baik dari aktiviti-aktiviti ini,’ katanya ketika berucap merasmikan kem itu baru-baru ini. Turut hadir, Penyelaras Anjung UniMAP Kulim, Mohamed Hanafiah Baharuddin.

 

Ujarnya lagi, pihak UniMAP yakin, dengan adanya pendedahan seperti kem itu, para pelajar akan berpeluang untuk bersaing di peringkat lebih tinggi sebagai satu pengalaman dan pendedahan yang secara tidak langsung mengasah bakat-bakat baru dalam bidang kejuruteraan kelak. Beliau juga turut berterima kasih kepada pihak industri kerana amat prihatin dan sanggup membantu UniMAP dalam usaha mendidik pelajar untuk meminati bidang kejuruteraan antaranya Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor ( SHRDC ), ViTROX Corporation, dan DreamEdge Sdn. Bhd. “Seperti yang kita sedia maklum, UniMAP amat sinonim dengan program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) untuk komuniti setempat, dan aktiviti seperti ini tidak hanya tertumpu di sekolah-sekolah Perlis semata-mata”katanya lagi.

 

Kata Dr. Rizalafande lagi, aktiviti yang menjadi pengisian kem itu juga merupakan serampang dua mata dalam usaha mewujudkan kelab-kelab rekacipta dan inovasi di sekolah-sekolah dan UniMAP akan memberi bantuan kepada kelab-kelab tersebut. Kem robotik itu disertai 51 pelajar dari 16 buah sekolah sekitar Kulim - Bandar Baharu di bawah program Rakan UniMAP.

Vega Squadran Juarai Kem Robotik UniMAP 2015

Vega Squadran Juarai Kem Robotik UniMAP 2015

Vega Squadran Juarai Kem Robotik UniMAP 2015

Tagged under: UniMAP, kem robotik,