A+ A A-

MAIPs Beri Sumbangan RM208,000 Di Bawah Program "Kayuhan MAIPs Peduli"

KANGAR, 22 Nov (Bernama) -- Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM208,000 kepada 420 penerima asnaf di bawah program 'Kayuhan MAIPs Peduli' yang memasuki siri ke-100 hari ini sejak diadakan pada 2012.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs mengetuai progam itu dengan mengayuh basikal bersama para pemimpin dan ketua-ketua jabatan negeri bertemu rakyat di serata kampung.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor ada antara penerima menerima sumbangan terus daripada Raja Muda yang berkenan singgah di rumah mereka dalam siri program tersebut.

"Mana-mana yang baginda tidak sempat temui dipanggil untuk menerima sumbangan sama ada di masjid atau semasa baginda singgah di mana-mana tempat," katanya selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin dalam siri kayuhan ke-100 hari ini sejauh 21 kilometer (km).

Program itu yang turut disertai 67 peserta bermula di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail dan berakhir di Masjid Alwi di Kangar iaitu tempat berlangsung Perkampungan Sunnah Siri Kedua 2015.

Dalam program itu, baginda berkenan singgah di empat buah rumah penduduk di Kampung Ujung Bukit dan Telok Jambu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong dan DUN Indera Kayangan yang kedua-duanya terletak dalam Parlimen Kangar.

Di Masjid Alwi, Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan sumbangan kepada 15 orang lagi asnaf, masing-masing menerima RM300 hingga RM1,000 seorang.

Mohd Nazim berkata program kayuhan hari ini dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Persatuan Alumuni UniMAP dan Syarikat Utusan Melayu.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berucap pada majlis penyampaian sumbangan di Masjid Alwi berkata kaedah di Perlis agak unik kerana bukan asnaf yang mencari MAIPs sebaliknya MAIPs yang diketuai Raja Muda mencari mereka untuk dibantu.

-- BERNAMA

 

Utusan

Utusan

Utusan