- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Cara Unik Tuanku Syed Faizuddin Jumpa Asnaf Dalam Program Kayuhan Peduli MAIPS Ke-100
KANGAR 22 Nov. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai 167 peserta Program Kayuhan Peduli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIPs) Ke-100 Tuanku Raja Muda Perlis Menyantuni Golongan Asnaf hari ini.
Kayuhan itu bermula pada pukul 8.30 pagi dari pekarangan Masjid Putra dan berakhir di Perkampungan Sunnah Siri II 2015 di Masjid Alwi di sini hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni UniMAP dan MAIPs dengan kerjasama Unit Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP.
Turut serta dalam kayuhan itu termasuk Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Datuk Amir Md. Noor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.
Utusan Malaysia yang menjadi media rasmi juga disertai lapan wakil termasuk Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad; Editor Foto, Kadir Bachok dan Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Perlis, Syarilfuddin Shaari.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua MAIPs berkenan singgah bersama rombongan kayuhan di empat buah rumah asnaf di Kampung Ujung Bukit, Kampung Telok Jambu dan Kota Keran.
Baginda telah mempelopori cara cukup unik bagi menyampaikan zakat iaitu dengan melakukan kayuhan basikal ke rumah asnaf yang dilakukan sejak tahun 2013 sekali gus membantu mempromosi gaya hidup lebih sihat dan konsep ini juga membuatkan rakyat begitu dekat dengan Raja Muda Perlis.
Bagi Program Kayuhan Ke-100 ini, rumah asnaf pertama yang disinggah ialah Hashim Ismail, 52, di Kampung Ujung Bukit, Bintong, diikuti rumah asnaf Kamis Omar, 66, dan rumah Rukiah Karim di Kampung Teluk Jambu, Bintong dan berakhir di rumah asnaf Muhd. Izzat Izzuddin Abd Aziz , 26 tahun, yang membela seorang adik orang kurang upaya (OKU) di Kota Keran.
Kesemua penerima itu diberikan wang zakat bernilai RM500 setiap seorang dan wang fidyah dalam bentuk beras 10 kilogram dan kotak ‘Kits Peduli MAIPs’ yang mengandungi beras dan makanan asasi bernilai RM100.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga singgah di Pusat Pemulihan Komuniti (PDK) Residensi di Jalan Datuk Wan Ahmad, Kangar.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Kedua-dua baginda turut meluangkan masa menyertai sukaneka dan beramah mesra dengan peserta PDK tersebut.
Kayuhan itu juga singgah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra sebelum pogram berakhir di Masjid Alwi yang disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Asri Zainul Abidin.
Baginda juga menyampaikan sumbangan zakat yang bernilai RM10,500 kepada 15 penerima asnaf lain. - www.utusan.com.my