- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Sedia Bantu Mantapkan Peranan CMT Rela
PAUH PUTRA (ARAU), 23 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedia menawarkan kepakarannya untuk membantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memantapkan lagi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) agensi itu.
Naib Canselornya, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata UniMAP mampu melaksanakan peranan itu kerana memiliki kepakaran dalam bidang teknologi serta pengetahuan mengendalikan Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS).
"Sebagai institusi pengajian tinggi awam berteraskan teknologi, inovasi dan kejuruteraan, kepakaran kami boleh diaplikasikan sebagai penyokong utama penyedia khidmat untuk menghadapi bencana seperti banjir dan kebakaran.
"Peranan CMT Rela akan lebih mantap dengan olahan kepakaran kejuruteraan. RELASIS UniMAP juga boleh membangunkan teknologi pelaksanaan kerja-kerja sukarelawan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pentauliahan RELASIS UniMAP dan Universiti Utara Malaysia (UUM) 2015 di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini Ahad malam.
Seramai 42 mahasiswa UniMAP dan 37 mahasiswa UUM sesi 2012/2013 menerima tauliah RELASIS pada majlis itu.
Kamarudin turut menyeru kepada mahasiswa yang bergiat dalam RELASIS supaya memantapkan disiplin yang menjadi nilai tambah buat diri dan pertubuhan itu.
"Saya yakin jika mahasiswa mengamalkan kaedah disiplin yang diajar, mereka boleh menjadi orang yang berjaya dan penting kerana anggota RELASIS boleh meningkatkan keberkesanan Rela dalam membanteras kegiatan jenayah di kampus," katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah dalam ucapannya mengingatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan RELASIS semata-mata untuk memenuhi tuntutan kokurikulum universiti dan pemarkahan.
Katanya penubuhan RELASIS akan berkesan sekiranya mahasiswa memahami konsep kesukarelaan di samping memupuk perpaduan nasional dan mengamalkan sikap toleransi dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata modul latihan dan pendekatan RELASIS sentiasa dikaji dan diperkemas untuk disesuaikan dengan landskap semasa supaya ia sentiasa relevan.
Pada majlis itu juga, Kamariah menganugerahkan pangkat-pangkat Bersekutu kepada pentadbir RELASIS UniMAP dan UUM bagi mengiktiraf sumbangan mereka.
Anggota Rela pada masa ini adalah 2.9 juta dan daripada jumlah itu, 1.17 juta adalah belia.
-- BERNAMA
Ketua Pesuruhjaya RELA Datuk Kamariah Mohd Noah bersama Timbalan Ketua Pengarah (operasi) Ibu Pejabat RELA Malaysia Tuan Kamaruddin Mohd Rapig memeriksa Perbarisan sebelum Majlis Pentauliahan Pangkat dan Penyampain Watikah RELASIS UniMAP dan UUM yang berlangsung di Dewan Kecermerlangan UniMAP.
Ketua Pesuruhjaya RELA Datuk Kamariah Mohd Noah bersama Naib Canselor UniMAP Prof. Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM Dr. Mohd Dino Khairri Shafifuddin menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pentauliahan Pangkat dan Penyampain Watikah RELASIS UniMAP dan UUM yang berlangsung di Dewan Kecermerlangan UniMAP.
Ketua Pesuruhjaya RELA Datuk Kamariah Mohd Noah menyerahkan watikah pentauliahan dengan disaksikan oleh Naib Canselor UniMAP Prof. Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM Dr. Mohd Dino Khairri Shafifuddin.
Ketua Pesuruhjaya RELA Datuk Kamariah Mohd Noah menyampaikan piala bagi Kejohanan Menembak kepada wakil UniMAP dengan disaksikan oleh Naib Canselor UniMAP Prof. Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.
Ketua Pesuruhjaya RELA Datuk Kamariah Mohd Noah dan Naib Canselor UniMAP Prof. Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM Dr. Mohd Dino Khairri Shafifuddin bergambar kenangan bersama anggota RELASIS yang ditauliahkan.