A+ A A-

Pentadbir Universiti Perlu Komited Untuk Mencipta Kejayaan - Mary Yap

PADANG BESAR, 21 Nov (Bernama) -- Pentadbir yang komited dan bertanggungjawab mampu menerajui sesebuah universiti mencapai tahap cemerlang, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Ciri-ciri penting pentadbir universiti antaranya adalah berwawasan, rajin turun padang, penyayang dan berdisiplin, katanya semasa berucap melancarkan program 'Pemerkasaan Lonjakan 1 (PT) 2015' peringkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Sungai Chuchuh di sini, Sabtu.

Yap berkata pencapaian UniMAP dalam usia sangat muda (14 tahun) termasuk memperoleh banyak kejayaan dalam pelbagai forum sahaja menjelaskan halatujunya untuk menjadi universiti kejuruteraan yang dinamik sangat membanggakan.

Kejayaan sesebuah universiti turut bergantung kepada keberanian pentadbirnya melaksanakan program yang membantu menaikkan tahap kecemerlangan universiti tersebut, katanya.

Menurut Yap universiti juga harus sentiasa melaksanakan program untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi pelajar dan kakitangannya.

Bersempena pelancaran program itu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya pameran, persembahan seni mempertahankan diri dan peluang melanjutkan pengajian di UniMAP.

-- BERNAMA