A+ A A-

UniMAP Hargai Jasa Warganya

PAUH PUTRA, 26 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghargai lebih 500 warganya dalam satu Majlis Penghargaan yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra, di sini semalam.

Majlis Penghargaan itu diadakan bagi meraikan semua sekretariat dan Petugas Istiadat Konvokesyen Ke-10 UnMAP, Festival Konvokesyen UniMAP, atlit Sukan Staf Antara Universiti Malaysia dan Kejohanan Golf IPT UniMAP serta sekretariat dan petugas Minggu Suai Kenal baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, beliau percaya penganjuran majlis penghargaan sebegini akan dapat meningkatkan semangat dan motivasi warga UniMAP untuk terus memberikan yang terbaik kepada universiti.

“Sengaja kita anjurkan majlis pada hari ini kerana kita mahu segala penat lelah perjuangan yang selama ini dihargai oleh pengurusan tertinggi.

“Memang benar, bekerja seharusnya ikhlas dan tidak sewajarnya mengharapkan balasan, tetapi sebagai manusia, kita perlulah mempunyai sifat menghargai pertolongan insan lain,”katanya ketika berucap pada majlis itu, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Ujar Datuk Kamarudin lagi lagi, kegembiraan adalah satu aura positif yang akan memberi banyak manfaat kepada semua manusia, ia secara tidak langsung akan meningkatkan daya saing dalam diri warga UniMAP untuk bersama-sama bersaing dan berjuang dalam meningkat dan mengharumkan bukan sahaja nama anda malah nama UniMAP itu sendiri.

“Saya bersyukur kerana semua warga UniMAP mempunyai semangat yang tinggi dan sentiasa bekerja keras dalam menaikkan nama universiti ini.

“Segala kejayaan yang kita raih selama ini adalah hasil usaha dan penat lelah yang berterusan semua warga UniMAP,” katanya lagi.

UniMAP Hargai Jasa Warganya