A+ A A-

UniMAP Terokai Bidang Akuakultur

Padang Besar, 25 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) kini menerokai bidang akuakultur melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) berasaskan keperluan industri dengan kajian permulaan membabitkan penternakan ikan air tawar jenis “Jade Perch” dari Australia.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, penyelidikan tersebut dijalankan dengan kerjasama Tunjang Induk Sdn. Bhd. (TISB) yang memberikan sumbangan aset bangunan hatceri serta tangki ikan untuk kegunaan penyelidikan.

Beliau berkata, UniMAP kini memiliki empat tangki ikan di bawah kendalian Prof. Dr. Ridzwan Abdul Rahman yang berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan akuakultur dengan menitikberatkan aspek pengudaraan dan suhu air.

“Jumlah ikan yang boleh dihasilkan di dalam kolam bergantung sepenuhnya kepada dua aspek ini yang mana semakin tinggi suhu air, semakin rendah kadar oksigen dan semakin tinggi juga kadar metabolisme ikan.

“Penyelidikan ini juga bakal menggunakan air bersaliniti tinggi khusus untuk membantu merawat ektoparasit dan penyakit kulat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasil penyelidikan tersebut yang dimulakan di UniMAP pada awal tahun 2015 akan mula dipasarkan awal tahun hadapan dengan nama baru iaitu “PUYU KUKUM”.

Penjenamaan PUYU KUKUM tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh dalam lawatan kerja beliau ke Kampus Uniciti Alam di sini Sabtu lalu.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi Proven Group of Companies Bhd. Datuk Yusof Jusoh yang juga merupakan pemaju Kampus Uniciti Alam.

Menurut Dr. Kamarudin, usaha penternakan ikan tersebut telah bermula di Malaysia pada awal 2010 namun maklumat mengenai kesesuaian dan masalah berhubung penternakan ikan spesis ini masing kurang difahami sepenuhnya oleh penternak.

“Atas dasar itu, UniMAP dan TISB sepakat membangunkan sistem akuakultur yang bersesuaian dengan keadaan dan persekitaran di Malaysia bagi memudahkan ia dijalankan oleh penternak berskala kecil dan sederhana.

“Spesis ini yang padat dengan isi amat berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai kadar tumbesaran yang cepat, daya ketahanan yang tinggi terhadap penyakit selain mempunyai kandungan omega-3 yang sangat tinggi,” ujarnya.

 

UniMAP Terokai Bidang Akuakultur

Yb. Dato' Seri Idris Jusoh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia bersama Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin Naib Canselor UniMAP sedang melihat 'Puyu KUKUM'.

 

UniMAP Terokai Bidang Akuakultur

Yb. Dato' Seri Idris Jusoh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia bersama Prof. Dr. Ridzwan bin Abdul Rahman dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamaridin Hussin Naib Canselor UniMAP bergambar sewaktu Perasmian 'Puyu KUKUM'di Kampus Uniciti Alam UniMAP, Sg. Chuchuh.