A+ A A-

Penyelidik CEGeoGTech UniMAP Terus Unggul

Kangar, 29 September – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa melalui kejayaan membawa pulang lima pingat menerusi dua pameran yang berasingan.


Produk “Geopolymer Concrete For Sidewalk” yang berjaya di patenkan di Amerika Syarikat dan Eropah berjaya meraih pingat emas pada Pameran Intellectual Property, Creativity and Innovation (INFOINVENT 2015) yang berlangsung pada 25 hingga 28 November lalu di Intermational Exhibition Center Moldexpo, Moldova.


Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, pada pameran tersebut yang berfokuskan kepada harta intelek dan kreativiti, CEGeoGTech  menghantar dua produk penyelidikan dan diwakili oleh pensyarah pelawatnya yang juga penyelidik bersama projek “Geopolymer Concrete For Sidewalk” iaitu Dr. Andrei Victor Sandu.


“Kejayaan produk ini yang dijalankan oleh pelajar seliaan saya Muhammad Faheem Mohd. Tahir amatlah membanggakan memandangkan pameran ini berjaya menarik lebih daripada 450 penyertaan dari seluruh dunia.
“Satu lagi projek penyelidikan yang dijalankan oleh bekas pelajar seliaan saya yang kini merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UniMAP, Dr. Rafiza Abdul Razak iaitu Geopolymer Artificial Agregate berjaya meraih pingat gangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Dr. Kamarudin menambah, produk hasil penyelidikan Dr. Rafiza berjaya didaftarkan di bawah harta intelek di Malaysia. Sementara itu, dalam pameran Seoul International Invention Fair (SIIF) 2015 di Korea, dua penyelidik CEGeoGTech berjaya meraih tiga pingat perak  menerusi Dr. Zarina Yahya yang juga pensyarah kanan di FTK melalui produk inovasinya “Palm Ash Geopolymer Brick.


Menurut Dr. Kamarudin, kajian Dr. Zarina tersebut merupakan hasil penyelidikan yang dijalankan pada pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah dengan menggunakan bahan terbuang daripada industri kelapa sawit untuk dijadikan batu-bata yang ringan dan dapat digunakan dalam tempoh 24 jam selepas dihasilkan. Ujar beliau, dua lagi produk yang meraih gangsa ialah Geopolymer Brick Machine Vol. 2 yang telah dihasilkan bersama pusat penyelidikan Arab Saudi  King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST) serta produk inovasi DR. KMR Repair Materials.

Beliau memberitahu, kejayaan tersebut merupakan kejayaan berterusan CEGeoGTech tahun ini apabila pada minggu lalu tiga penyelidik CEGeoGTech diumumkan pemenang Anugerah Buku Umum Terbaik bagi kategori Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pada majlis Anugerah Buku Negara 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Pada majlis yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara itu, tiga Penyarah Kanan UniMAP, Dr. Sam Sung Ting, Dr.Nik Noriman Zulkepli dan Dr. Mohd. Firdaus Omar meraih kejayaan tersebut menerusi buku  Polimer Terbiodegrasi yang diterbitkan oleh Penerbit UniMAP,” katanya lagi.

Penyelidik CEGeoGTech UniMAP Terus Unggul

Dr. Zarina Yahya (kiri) dan Alida Abdullah bergambar bersama pingat perak yang diraih pada Pameran SIIF 2015 yang berlangsung di Korea.

Penyelidik CEGeoGTech UniMAP Terus Unggul

Penyelidik CEGeoGTech UniMAP Terus Unggul

Penyelidik CEGeoGTech UniMAP Terus Unggul

Tagged under: UniMAP, CEGeoGTech, FTK,