- Kategori: BERITA - Malay
PPK Pembuatan UniMAP Eratkan Hubungan Bersama Dua Universiti Di Singapura
Kangar 30 Nov – Dalam usaha memastikan program pembelajaran yang ditawarkan memenuhi kehendak pasaran semasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengadakan Lawatan Penandaarasan Akademik ke dua buah universiti terkemuka Singapura.
Dekan PPK Pembuatan, Prof. Madya Dr. Khairul Azwan Ismail berkata, lawatan selama dua hari itu disertai 11 orang yang terdiri daripada Exco PPK Pembuatan dan pelajar tahun akhir.
“Ini merupakan salah satu usaha PPK Pembuatan dalam mengukuhkan sistem akademik pusat pengajian menerusi pandangan dan perkongsian pelajar.
“Seperti yang kita sedia maklum, Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS)merupakan universiti yang terkemuka di dunia,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Di hari pertama lawatan, delegasi PPK pembuatan dibawa melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal & Aeroangkasa (School of Mechanical and Aerospace Engineering) NTU.
“ Semasa di NTU kami diberikan taklimat perjalanan akademik (Associate Chair (Academic) Prof. Ooi Kim Tiow dan kita amat bertuah kerana turut dibawa melawat Makmal Robotik dan Pemesinan.
“Manakala pada hari kedua, kami melawat Jabatan Mekanikal (Department of Mechanical) dan Makmal Pembagnunan Kerta F1 dan Pemesinan dibawah College of Engineering, NUS dan Dekan Profesor Tay Tong Earn sendiri memberikan taklimat akademik kursus di NUS,”katanya lagi.
Ujar Dr. Khairul lagi, hasil daripada lawatan itu, pihaknya telah mengenalpasti bidang kerjasama baru yang boleh dijalinkan antaranya proses Latihan Industri dan Program Mobiliti pelajar yang amat menarik untuk diamalkan di UniMAP.