- Kategori: BERITA - Malay
Berkhatan Kurangkan Jangkitan HIV – Timbalan Naib Canselor UniMAP
Kangar, 30 November – Berkhatan akan mengurangkan kadar jangkitan HIV sebanyak 60 peratus, kata Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan.
“Kajian saintifik telah membuktikan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri.
“Malah ianya juga mengurangkan kadar jangkitan siplis, kankroid dan herpes genitalis serta menjaga kebersihan diri yang menjadi tuntutan dalam Islam,” katanya ketika mewakili Naib Canselor UniMAP merasmikan Majlis Khatan Perdana peringkat UniMAP tahun 2015 pada 27 November lalu di Kampus Induk universiti tersebut.
Tambahnya, kebersihan yang diinginkan oleh Islam adalah meliputi semua aspek jasmani dan rohani bukan sahaja pengurusan diri sendiri tetapi termasuklah perkara kebersihan rumah, tempat bekerja dan sebagainya.
Program ini diadakan buat pertama kali anjuran bersama Pusat Islam dan Pusat Kesihatan UniMAP mendapat penyertaan seramai tujuh anak kakitangan UniMAP.
Dr. Fo’ad menyeru agar khatan dilakukan demi menjaga kesihatan anak-anak dan menggalakkan aktiviti ini menjadi acara tahunan UniMAP.
“Walaupun jumlah penyertaan tidak mencapai sasaran tetapi itu bukanlah bererti program ini gagal dan saya positif bahawa tahun hadapan akan lebih ramai lagi yang akan menyertai program ini,” katanya.
Turut hadir adalah Pengarah Pusat Islam, Ustaz Hassan Arshad dan Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohammad Iqbal Omar.