A+ A A-

UniMAP Terima Pengiktirafan 4 Bintang MyRA

Putrajaya, 30 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima pengiktirafan empat bintang berdasarkan intrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) pada majlis Penganugerahan Watikah Penarafan Bintang MyRA 2014 di sini.

Pada majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh itu, UniMAP dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan dua universiti awam (UA) yang diberikan penarafan empat bintang.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, lima lagi UA bertaraf Universiti Penyelidikan (RU) menerima penarafan enam bintang iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Berada pada tahap empat bintang ini sangat memberi erti buat kami yang baru mencecah usia 14 tahun dan ia menjadi suntikan semangat untuk kami terus meningkatkan usaha dalam mencapai sasaran menjadi antara 500 universiti terbaik di dunia menjelang tahun 2020,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas menerima Watikah Penarafan UniMAP  di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di sini hari ini.

MyRA merupakan satu instrumen bagi mengukur aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan dan dikategorikan kepada enam tahap dengan tahap enam merupakan yang tertinggi.

Bagi penarafan MyRA kali ini, 20 UA dan 38 institusi pengajian tinggi swasta iaitu 27 universiti swasta tempatan, enam kolej universiti dan lima universiti kampus luar negara turut serta dalam penarafan kali ini.

Mengulas lanjut, Dr. Kamarudin berkata, kejayaan tersebut juga membolehkan UniMAP menerima Geran Penyelidikan bernilai RM2.3 juta bagi meneruskan agenda penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi di universiti.

“Agenda penyelidikan merupakan fokus utama UniMAP selaras dengan lonjakan ketujuh (Ekosistem Inovasi) yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi),” ujar beliau.

Dalam pada itu, Idris dalam ucapannya menggesa semua universiti agar memberi fokus dan usaha lebih dalam mewujudkan ekosistem inovasi yang sihat dalam kampus elaras dengan hasrat kerajaan menjadikan inovasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Fokus yang diberikan oleh kerajaan terhadap aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi kepada program RU mulai tahun 2006 telah membuahkan hasil apabila kelima-lima RU telah mendapat lima bintang,” ujar beliau.

UniMAP Terima Pengiktirafan 4 Bintang MyRA