A+ A A-

Kejayaan TVET Korea Tarik Minat UniMAP

SEOUL, 2 Dis (Bernama) -- Kejayaan Korea Selatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional atau TVET menarik minat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menjadikannya sebagai model pembelajarannya.


Naib Canselornya, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata UniMAP berhasrat mempelajari sistem TVET negara yang terkenal dengan siri televisyen 'Winter Sonata' itu bagi memantapkan TVET yang diajar di UniMAP.

"Korea merupakan negara terawal melaksanakan TVET manakala Malaysia hanya melaksanakannya beberapa tahun lepas. Sememangnya kita ketinggalan jauh, lebih 30 tahun dan sukar mengejar mereka.

Keberkesanan konsep atau modul mereka bagaimanapun dapat membantu memantapkan TVET yang dilaksanakan di negara kita," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Surat Niat Hasrat (LoI) dengan World Skills Korea yang diwakili Setiausaha Agungnya, Dr Eom Joon Chul.

Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menyertai delegasi UniMAP ke Seoul berkenan menyaksi majlis itu di Global Institute For Transferring Skills (GIFTS), di sini, petang semalam.

Sebelum itu Tuanku Syed Faizuddin, Kamarudin serta beberapa pegawai kanan UniMAP mengadakan perbincangan dengan Dr Chul mengenai kerjasama dua hala dan bagi memperkukuhkan TVET UniMAP.

Kamarudin berkata UniMAP yang menawarkan 21 program kejuruteraan dijadikan pusat TVET namun perlu diperkemaskan lagi agar lebih 13,000 pelajarnya mendapat manfaat maksimun.

"Atas sebab ini UniMAP perlu bekerjasama dengan Korea Selatan yang mempunyai kepakaran bagi membantu kita melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri dan mengikut kemajuan teknologi semasa," katanya.

Dr Chul pula berkata Korea Selatan melaksanakan TVET pada 1981 bagi melahirkan modal insan terutama lepasan sekolah menengah dengan kemahiran asas untuk mengatasi masalah sosial berikutan kurang 25 peratus rakyatnya melanjutkan pengajian ke universiti.

"Program ini berjaya dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar sekolah dan syarikat. Program TVET diubah kali terkahir pada 2007," kata Dr Chul, antara pakar TVET Korea.

Katanya Korea Selatan bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi membantu Malaysia memperkasakan program TVET melalui GIFTS yang dibuka pada 2013 dengan tujuan berkongsi TVET melalui sistem dan latihan yang unik dan sumbernya dengan negara-negara membangun di Asia, Timur Tengah, Amerika Selatan dan Afrika.

Daripada Zainal Abdul Jalil

-- BERNAMA

TVET