A+ A A-

Penyelidik UniMAP Raih 9 Pingat Di Taiwan

Kangar, 7 Dis – Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya membawa pulang empat pingat emas dan lima pingat perak menerusi pameran penyelidikan Kaohsiung International Invention & Design Expo (KIDE) 2015 yang berlangsung di Taiwan berakhir semalam.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarusin Hussin berkata, lebih membanggakan, dua produk inovasi UniMAP turut meraih anugerah khas iaitu “Massive Mimo Terminal Antennas for Future 5G Applications hasil penyelidikan Dr. Azremi Abdullah Al Hadi dan Food Ingredient Translator hasil penyelidikan Sharmini Abdullah.

Ujar beliau, Dr. Azremi dinobatkan sebagai penerima National Research Council of Thailand Best Invention manakala Sharmini pula menerima anugerah IIPNF Honor Invention.

“Dua lagi produk yang meraih pingat emas ialah Timelesse E-Tutor hasil penyelidikan Syaharom Abdullah dan Recyclable Dye Decomposer hasil penyelidikan Dr. Norsuria Mahmed.

“Semoga kejayaan yang diraih penyelidik UniMAP ini mampu menjasi inspirasi kepada penyelidikan lainnya untuk terus menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KIDE dianjurkan oleh World Invention Intellectual Property Association (WIIPA)WIIPA dengan kerjasama Kaohsiung City Government dengan penglibatan dari lebih  20 negara antaranya Taiwan, China, Tunisia, Poland, Romania, Turki, Saudi Arabia, Sri Lanka, Korea, Itali, Indonesia dan Vietnam.

Selain UniMAP,  penyelidik di bawah Persatuan Penyelidikan Malaysia (MyRIS) iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan beberapa sekolah terpilih seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lailatul Shareen, SMK Dato'. Sheikh Ahmad dan SMS Pokok sena turut mengambil bahagian pada KIDE 2015.

Lima produk UniMAP yang meraih pingat perak ialah Bottom Ash Composite Cement, hasil penyelidikan Ng Hooi Jun, Kerisputra Language Game (Yuziana Yasin), Tourism Easy (Mohamed Elshaikh),  LEADS Module (Hirwan Jasbir Jaafar) dan Keyystroke Dynamic for Construction Industry (Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus).

Dalam pada itu, Dr. Azremi berkata, produk penyelidikan beliau menyediakan solusi kepada antena untuk aplikasi peranti mudah alih generasi ke-5 atau '5G' untuk kegunaan di masa hadapan.

Ujar beliau, produk tersebut dilengkapi dengan jumlah antena yang padat, iaitu sehingga lapan antena di dalam satu peranti dan dibuktikan mempunyai capaian kelajuan yang tinggi setanding dengan capaian antena ideal.

“Penyelidikan produk ini dijalankan dengan kolaborasi dari pihak industri sendiri iaitu MIMOS Berhad selain turut melibatkan kerjasama penyelidikan dengan Aalto Universiti, Finland,” ujar beliau.

Dr. Azremi turut menerima satu lagi kejayaan membanggakan di Taiwan apabila  diberikan pengiktirafan tertinggi pada International Conference on Advanced Materials Engineering and Technology (ICAMET 2015) yang berlangsung pada 4 Disember di Kaohsiung, Taiwan.

ICAMET 2015 dianjurkan bersempena dengan pameran KIDE 2015 oleh Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) dengan kerjasama WIIPA dan Techical University of Iasi, Romania.

Persidangan tersebut disertai oleh 14 buah negara menerusi 130 kertas kerja yang akan diterbitkan dalam jurnal berindeks SCOPUantaranya dari Russia, Korea, Taiwan, Romania, Thailand, China, Australia, Slovakia, Canada dan Indonesia.

Professor Kunjungan CEGeoGTech, Dr Andrei Victor Sandu menjadi pembentang utama ICAMET 2015.

Penyelidik UniMAP Raih 9 Pingat Di Taiwan

Penyelidik UniMAP Raih 9 Pingat Di Taiwan