A+ A A-

Universiti, Perusahaan Korea Selatan Berminat Sertai Bulan Korea Di UniMAP

BUSAN, (Korea Selatan), 7 Dis (Bernama) -- Beberapa universiti milik kerajaan dan swasta serta perusahaan dari Korea Selatan berminat menyertai 'Bulan Korea', anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Februari depan.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata program tersebut dirancang di kampus UniMAP di Pauh Putra yang akan menjadi medan universiti berkenaan memperkasakan hubungan antarabangsanya.

"Saya menerima maklum balas memberangsangkan dari beberapa universiti antaranya Korea High Tech University, Seoul; Hanbat National University dan Hannam University di Daejeon; Dongseo University (DSU), Busan; dan Inha Technical College di Seoul.

"Beberapa usahawan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat Korea yang berpengakalan di daerah Daejeon dan Gumi juga berhasrat menyertai program itu," katanya pada akhir lawatan seminggu di Seoul, Gumi dan Busan, petang semalam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai lawatan berkenaan yang turut disertai beberapa pegawai kanan UniMAP bermula 1 Dis lepas.

Kamarudin berkata usahawan dan ahli akademik Korea akan memberikan ceramah dalam bidang masing-masing selain bersedia berdialog dengan rakan sealiran mereka di Malaysia.

"UniMAP akan meminta kerjsama Duta Korea di Malaysia serta Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Eletronik (M) merangkap Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Korea Malaysia Datuk Roh Jae Yeol bagi menjayakan program ini.

"Usahawan Malaysia wajar mengambil peluang ini untuk menemui pelabur Korea selain mempromosi Lembah Chuping yang akan yang dibangunkan menjadi kawasan industri baharu berteknologi hijau dan mesra alam dalam Rancangan Malaysia Ke-11," katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan wakil DSU diketuai Naib Presidennya Prof Jeoung Sung Cho petang semalam, Kamarudin berkata UniMAP berhasrat bekerjasama dan mendapatkan kepakaran DSU termasuk membuka kampus cawangan di UniMAP.

Universiti swasta itu ditubuhkan pada 1992, adalah antara lima universiti terbaik di Korea dan berada dalam kelompok 50 terbaik di Asia, memberi fokus utama antaranya bidang multimedia, pembuatan filem, Teknologi Maklumat, grafik dan animasi.

DSU yang merupakan ahli bagi Anggota Forum Presiden Asian Univesity (AUPF), mempunyai hampir 11,000 pelajar dengan lebih 800 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.