- Kategori: BERITA - Malay
B.SMArT Latih Graduan Menjadi Usahawan
PUTRAJAYA, 25 November – Persaingan graduan universiti dalam mencari pekerjaan di masa kini amatlah sengit, sehinggakan ada syarikat yang meletakkan ujian yang sukar sebelum menggaji seseorang pekerja.
Apa yang mereka lihat adalah nilai tambah yang ada pada seseorang graduan untuk menghasilkan keuntungan atau pulangan kepada sesebuah syarikat tersebut.
Atas kesedaran itu, Pusat Kecemerlangan Industri, Kluster Penjagaan Kesihatan (ICoE Healthcare) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bekerjasama dengan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) dan Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd. menganjurkan satu program yang memberi penekanan khusus dalam bidang Jualan dan Pemasaran dalam sektor penjagaan kesihatan
Program yang dikenali sebagai Best Sales and Marketing Apprenticeship Training (B.SMArT2015) itu mengambil 14 graduan dari universiti awam seluruh negara untuk dilatih untuk menajdi usahawan dalam penjagaan kesihatan.
Ketua Setiausaha, KPT Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, program kerjasama antara industri dan akademia diumumkan Perdana Menteri ketika pertemuan bersama peserta Skim Latihan 1Malaysia baru-baru ini.
“Beliau telah mengarahkan penubuhan satu badan khas bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan mewujudkan kurikulum universiti yang lebih berorientasikan kepada keperluan pasaran.
“Saya percaya, usaha bersama ini pasti akan dapat membantu untuk mencapai matlamat KPT dalam melahirkan melahirkan graduan yang seimbang dalam bidang holistik dan keusahawanan, seperti yang dinyatakan dalam lonjakan satu daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025,”katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi B.SMArT2015 di Dewan Za’aba, KPT, di sini.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP, merangkap Pengerusi ICoE Healthcare, Brig.Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Ketua Pegawai Operasi BiotechCorp, Razwin Sulairee Hasnan dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri KPT, Prof. Madya Dr. Arham Abdullah.
Ujar Datuk Seri Zaini lagi, kerajaan bercadang untuk menggalakkan lebih perkongsian sektor awam dan swasta dalam aktiviti-aktiviti yang memberi kesan kepada ekonomi negara.