A+ A A-

UniMAP Luaskan Jaringan Kerjasama Antarabangsa Di Myanmar

Yangon, 16 Disember - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meluaskan lagi jaringan kerjasama antarabangsanya apabila menandatangi ‘Surat Hasrat’ (LOI) dengan dua buah universiti awam di sini.

Majlis menandatangani LOI ini diwakili oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr.Kamarudin Hussin bagi pihak UniMAP manakala West Yangon Technological University (WYTU) diwakili oleh rektornya Dr Thein Gidan manakala Thanlyin Technological University (TTU)diwakili oleh rektornya Dr. Kay Thi Lwin.

Menurut Datuk Kamarudin, hasrat jalinan ini merupakan penanda aras UniMAP ke arah meningkatkan kemahiran staf dan pelajar agar lebih berdaya saing sekaligus membantu meningkatkan nama universiti agar dikenali di persada antarabangsa.

“Saya percaya kemahiran yang bakal diperolehi oleh staf dan pelajar bagi universiti yang terlibat ini akan melonjakkan nama universiti bukan sahaja di kedua-dua buah negara malah di seluruh dunia khususnya di ASEAN.

Ini adalah antara usaha UniMAP untuk mencapai matlamat strategiknya iaitu keterlihatan antarabangsa yang menyerlah di peringkat Negara ASEAN selaras dengan kewujudan Komuniti ASEAN,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Majlis menandatangani LOI berkenaan adalah bersempena lawatan Naib Canselor universiti kejuruteraan itu ke Myanmar bersama pegawai-pegawai kanan UniMAP selama empat hari yang turut memberi tumpuan kepada mobiliti staf dan pelajar serta penyelidikan bersama bagi membuka peluang dua hala di antara UniMAP dan universiti-universiti tersebut.

Selain itu, lawatan rasmi juga turut diadakan di University of Medicine 2 (UM2)dan disambut oleh rektor Prof. Dr. Aye Aung bagi membincangkan peluang-peluang penyelidikan bersama terutama dalam bidang bio-perubatan kejuruteraan elektronik.

Delegasi UniMAP turut mengambil peluang sempena lawatan berkenaan dengan melakukan promosi bersama Fast Lane Services Co. yang merupakan rakan strategik UniMAP di Myanmar kepada ibu bapa dan juga bakal pelajar universiti yang dihadiri lebih daripada 100 orang.

Ceramah promosi serta taklimat peluang pengajian pascasiswazah yang disampaikan oleh Datuk Kamarudin sendiri adalah sebagai usaha bagi mendokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di rantau CLMV yang merangkumi “Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam’ sekaligus mencapai sasaran UniMAP untuk mendapatkan 1000 pelajar antarabangsa bagi tahun 2016.

Profesor Adjung UniMAP, Dato’ Dr. Yusof Jusoh yang turut sama dalam lawatan itu turut memberi perkongsian berkenaan keusahawanan kepada 250 pelajar serta pensyarah WYTU.

UniMAP Luaskan Jaringan Kerjasama Antarabangsa Di Myanmar

UniMAP Luaskan Jaringan Kerjasama Antarabangsa Di Myanmar

UniMAP Luaskan Jaringan Kerjasama Antarabangsa Di Myanmar