- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Lantik 107 pelajar sebagai MPKK 2015/2016
Kangar, 30 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Kediaman (MPKK) bagi sesi 2015/2016 bertempat di Hotel Seri Malaysia di sini, baru-baru ini.
Seramai 107 pelajar telah dilantik sebagai MPKK yang ditempatkan di tujuh kolej kediaman UniMAP dengan diketuai oleh tujuh pelajar sebagai Yang Dipertuanya (YDP).
Timbalan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, MPKK adalah barisan suara mahasiswa yang bertindak secara proaktif dalam melicinkan pentadbiran pihak kolej kediaman universiti.
“Pihak universiti tidak pernah menyekat apa jua rancangan yang ingin dimajukan oleh pihak MPKK sekiranya ia membawa kebaikan bersama.
“Bagi memudahkan urusan pentadbiran, seorang jurucakap telah dilantik oleh pihak pengurusan untuk menjadi perantara antara MPKK dan pentadbiran UniMAP,” katanya ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor UniMAP.
Jurucakap yang dipilih adalah YDP Kolej Kediaman (KK) Pauh Putra, Muhammad Amir Hakim Razali yang turut mengetuai angkat sumpah pada Majlis Watikah Pelantikan MPKK tersebut.
Selain Amir Hakim, enam lagi YDP yang dilantik adalah Mohammad Ainol Mohd Asri , KK Tan Sri Aishah Ghani di Wang Ulu; Nur Adrina Nadia Mohamad KK Tun Hussein Onn dan Tun Ghafar Baba; Roxawani Dila Burnudin, KK Bumita; Ahmad Firdaus Mohd Zaki (KK Uniciti Alam); Mohamad Danial Asyraf Yatime (KK Simpang 4); dan Muhamad Zulfahmi Abd Halim (KK Semarak).
Kesemua mereka ini dilantik bagi tempoh dua semester sidang akademik.
Tambah Dato’ Zul Azhar lagi, idea, cadangan, pandangan mahupun kritikan sebagai mahasiswa akan diambil kira selagi mana ia tidak bertentangan dengan mana-mana peraturan am undang-undang tubuh universiti, negeri dan juga negara seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971), Akta Rahsia Rasmi Percetakan (OSA) dan Akta Dalam Negeri (ISA).
Untuk rekod, UniMAP mempunyai lapan kolej kediaman yang menempatkan semua pelajar UniMAP yang berjumlah hampir 11,000 pelajar.