- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Kerjasama Akademik Dan Teknikal UniMAP-Duet
Dhaka , 22 Dis – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menyemarakkan hubungan kerjasama dengan University of Engineering and Technology (DUET) melalui lawatan kerjasama akademik serta teknikal di sini, hari ini.
Lawatan selama dua hari sejak 20 Disember dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (PPKKP) UniMAP berkenaan diketuai dekannya, Prof Dr R. Badlishah Ahmad bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) PPK itu, Dr Muzammil Jusoh serta Mustafijur Rahman.
Ini merupakan lanjutan hubungan kerjasama UniMAP dan DUET di bawah kepimpinan Naib Canselornya, Prof Dr Ala Uddin yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di UniMAP pada tahun lalu.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Emeritus Dr Kamarudin Hussin melahirkan rasa besar hati dengan komitmen dan penghargaan yang ditunjukkan oleh DUET terhadap UniMAP.
Katanya, menerusi lawatan itu Dr. R. Badlishah diberi kepercayaan bagi menyampaikan ceramah dan bengkel berkaitan proses akreditasi di UniMAP yang menjadi hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Bangladesh agar universiti awam di negara itu mendapatkan pengiktirafan kelayakan akademik.
“Lawatan berkenaan turut melibatkan perkongsian pencapaian penyelidikan UniMAP terutama dari segi penghasilan jurnal dan kertas persidangan.
“Selain itu, persetujuan bersama di antara PPKKP UniMAP dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Eletronik DUET telah dicapai bagi menganjurkan persidangan antarabangsa pada tahun 2017 dengan gerak kerja berkaitan persidangan itu akan dimulakan pada awal tahun 2016,” kata beliau dalam satu kenyataannya di UniMAP.
Ceramah itu turut dihadiri Dr. Ala Uddin, Pendaftar DUET, Prof. Dr. Mohammad Asaduzzaman Chowdhury, dekan-dekan kejuruteraan ijazah dan pensyarah-pensyarah DUET.
Terdahulu, Dr Ala Uddin turut melahirkan rasa kagum dengan pencapaian yang telah diraih UniMAP dibawah pimpinan Dr Kamarudin samada dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan pelajar.
“Pihak DUET amat berterima kasih dengan UniMAP di atas kesudian mengadakan beberapa kerjasama yang bakal diadakan pada masa hadapan sepertimana yang diputuskan sebelum ini seperti penyeliaan bersama, gabungan publikasi, lawatan professor serta pembantu professor,” kata beliau.
DUET merupakan antara lima buah Universiti Awam Bangladesh yang sangat terkenal didalam bidang kejuruteraan.
Lawatan ini turut mendapat liputan daripada surat khabar Daily Observer Bangladesh yang telah diterbitkan pada 22 Disember 2015 di ruangan muka surat 13.
Ia boleh dicapai melalui link berikut https://www.eobserverbd.com/2015/12/22/index.php.