A+ A A-

Seminar Ancaman Militan Is Terhadap Keselamatan Negara Di UniMAP

Kangar, 22 Disember – Warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) khususnya pelajar diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gerakan perjuangan ‘Islamic State’ (IS) yang menggunakan agama bagi menghalalkan kekejaman kumpulan itu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata UniMAP mengadakan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi kesedaran kepada warganya mengenai betapa bahaya ancaman IS ini.

“Penganjuran seminar seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu kakitangan dan pelajar UniMAP memahami apakah itu IS yang mampu menjejaskan keharmonian negara kita.

Justeru, secara tidak langsung hubungan UniMAP dan PDRM dilihat menjadi satu jambatan penghubung yang dapat berkongsi maklumat serta cabaran bagi menghadapi ancaman IS ini,” kata beliau ketika berucap di Seminar Ancaman Militan IS Terhadap Keselamatan  Negara anjuran Unit Latihan Jabatan Pendaftar di Dewan Kapitol, di sini hari ini.

 Katanya, kecenderungan warga UniMAP terhadap gerakan berkenaan pasti dapat dikesan lebih awal sekaligus mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di negara ini kesan daripada hubungan yang baik  UniMAP  dengan PDRM.

Seminar berkenaan disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Assistan Komisioner (SAC) Dato’ Ayob Khan Maidin Pitchay kepada hampir 300 pelajar dan kakitangan UniMAP yang turut dihadiri beberapa pegawai polis Cawangan Khas Perlis.