- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bergerak Seiring KPM, Komited Capai Tujuh KPI
Arau, 1 Januari – universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memulakan tahun baharu dengan tekad dan azam untuk bergerak seiring dengan tujuh petunjuk prestasi (KPI) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang digariskan oleh Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dalam amanat tahun barunya berkata, tahun 2016 menjanjikan cabaran yang sangat besar apatah lagi melalui pengurangan peruntukan belanja mengurus sebanyak tujuh peratus.
Ujar beliau, cabaran pada tahun ini amat besar apabila UniMAP perlu menjana lebih banyak sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan mengurus tanpa menaikkan yuran pengajian pelajar.
Atas dasar itu, Dr. Kamarudin saya menyeru semua warga UniMAP bersama-sama dengan beliau untuk berubah dan mengubah baik dari aspek sikap, minda, tabiat dan amalan bekerja bagi memastikan UniMAP dapat terus beroperasi dan mendidik anak bangsa.
“Sebagai respons kepada perubahan yang menuntut kita berubah secara positif, UniMAP komited untuk menjayakan KPI melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan untuk memastikan budaya berdaya saing UniMAP dapat diteruskan selepas ini.
“Harus diingat KPI ini perlu di lapor kepada Perdana Menteri yang mana sasaran yang telah ditetapkan menuntut kita melakukan beberapa banyak perubahan dengan melaksana inisiatif-inisiatif baru yang lebih segar, cekap dan berkesan secara kolektif,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2016 kepada pengurusan tertinggi UniMAP serta warga pentadbir dan pensyarah di Dewan Kecemerlangan di sini hari ini.
Menurut Dr. Kamarudin lagi, memandangkan aspek penjanaan kewangan merupakan fokus utama UniMAP, Datuk Prof. Dr. Salleh Din telah dilantik sebagai Penolong Naib Canselor (Kelestarian Korporat) yang antara lainnya bertanggungjawab melaksana aktiviti penjanaan kewangan universiti secara komprehensif antaranya melalui penawaran kursus jangka pendek secara komprehensif oleh setiap Pusat Pengajian di UniMAP.
Selain itu, Dr. Kamarudin menjelaskan, UniMAP turut komited untuk mencapai sasaran 80 peratus pelajar mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat berbanding sekitar 72 peratus tahun ini.
Ujar beliau, jika sebelum ini, perkara tersebut diletakkan di bawah tanggungjawab Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC), namun pada tahun ini setiap pusat pengajian wajar mempunyai wakil atau jawatankuasa bertindak yang dipertanggungjawabkan untuk merancang, memantau dan membuat tindakan susulan.
Beliau menjelaskan, aspek pengantarabangsaan turut diberikan tumpuan apabila UniMAP meletakkan sasaran untuk mencapai 950 pelajar antarabangsa merangkumi pelajar ijazah pertama serta pasca siswazah.
“Bidang penerbitan penyelidikan turut menjadi fokus UniMAP justeru kita akan memastikan semua Pusat Kecemerlangan (COE) akan dipacu laju untuk menghasilkan lebih banyak penerbitan penyelidikan yang tinggi kualiti ilmunya selain merancang dengan teliti persidangan penyelidikan supaya dapat dimanfaatkan oleh Scopus dan badan-badan lain.
“Kita juga akan berusaha mencari sumber-sumber geran baru di dalam dan luar negara bagi mendanai aktiviti penyelidikan serta mengadakan afiliasi dan kolaborasi ‘menang-menang’ dengan universiti dan institut penyelidikan serta para penyelidik antarabangsa,” ujar beliau lagi.